Friday, October 30, 2009

Pemuda Agen Pengubah siri 1

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara : Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.”

Umat manusia, dalam tabiat kejadian dan pembentukannya mempunyai masa terhad dalam usia yang mampu memberi sesuatu. Kemudian ia mula surut kebelakang (susut). Firman Allah swt:

Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan diantara manusia.”

Surah Ali Imran : 140

Dan benarlah sabda Rasulullah:

“Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasalah dia.”

Dari sini penekanan adalah untuk mendapatkan faedah dari usia muda dan dari para pemuda dalam menunaikan tugas berat dan melintasi halangan-halangan serta menyahut cabaran yang diperlukan dan dituntut oleh perubahan tamaddun.

Kenapa Pemuda Islam?

Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Para pemuda yang bersifat Islam adalah suatu hal, dan para pemuda tanpa Islam adalah suatu hal yang lain dan tidak ada apa-apa selain dari itu. Para pemuda dengan Islam bererti pemberi, iaitu kebaikan dan pembinaan dan yang tanpa Islam ialah celaka dan bala'.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar.

No comments:

Post a Comment