Monday, October 26, 2009

‘Ibrah Sepanjang Sejarah Islam


‘Ibrah Sepanjang Sejarah Islam’ merupakan tajuk kuliah subuh sewaktu explorasi sejarah iIsam di Masjid Wilayah, kuala lumpur. Lawatan ini tugasan terakhir subjek sejarah Islam yang dipimpin oleh Ustazah Wahibah. Tajuk ini dikupaskan oleh seorang pendakwah dan blogger terkenal di tanah air iaitu Ust Hasrizal Abd. Jamil atau dikenali saifulislam.com.


Tenang bila melihat wajah Ustaz Hasrizal tiba di masjid wilayah. Sebelum ini hanya membaca tulisan beliau di blognya dan sempat bersua seketika sewaktu beliau menyampaikan forum di KHAR. Cara pembawakan beliau begitu santai walaupun tajuk yang diamanahkan berat. Tempat kuliah subuh pun bukan bilik seminar berhawa dingin, hanya diruang solat terbuka di anjung C yang saya boleh melihat kebesaran Allah melalui pertukaran waktu malam ke siang.


Penting menelaah sejarah Islam


“Subjek sejarah tidak semua orang meminat”, antara ungkapan muqaddimah beliau sebelum memulakan kuliah. Tarikh, masa dan tempat adalah fakta yang perlu dihafal bagi memperolehi kejayaan dalam subjek tersebut. Jika diberi pilihan subjek sewaktu persekolahan dahulu, mungkin tiada siapa yang mengambilnya untuk memenuhi koleksi A dalam peperiksaan PMR dan SPM.


Namun melalui sejarah, kita mampu menilai diri kita. Banyak kisah umat terdahulu terutama proses pembinaan tamadun Islam perlu kita tatapi dan memahaminya. Peristiwa lampau akan kembali berlaku dalam versi yang berlainan. Tetapi perlakuan dan social tetap sama seperti orang zaman silam.


Matlamat sejarah menurut al-Quran


Kita tahu di dalam al-Quran terdapat perlbagai jenis ayat. Ada berkisarkan tentang ayat-ayat hukum yang mempunyai asbab nuzul turunnya ayat itu. Justeru itu, separuh dari ayat-ayat al-Quran merakamkan cerita-cerita dan kisah-kisah umat dahulu yang disana terdapat hikmah dan tauladan bagi umat kini.


Akal kurniaan Allah kepada manusia sangat unik dan juga membezakan dengan makhluk lain. Fungsinya untuk berfikir bagi memandu manusia ke jalan lurus. Sejarah memberi pengajaran kepada insan supaya mereka berfikir atas setiap kejadian seperti kisah nabi Nuh dengan umatnya. Sepatutnya kisah ini menjadi bacaan kita dan berfikir mengapa Allah turunkan banjir besar ke atas umatnya. Apakah mesej yang hendak dikhabarkan kepada kita sehingga dirakamkan di dalam al-Quran?.


Pun begitu, sejarah juga mengajar manusia supaya mengambil ‘ibrah dan pengajaran di dalamnya. Ia akan dijadikan teladan dan benteng untuk umat masa kini. Dengan meneliti sejarah Malaysia, kita dapati bangsa Melayu adalah bangsa yang juara dan maju dari segi ekonomi, ketenteraan, penyebaran agama Islam di era Kepulauan Melaka. Pengajaran yang wajar kita teladani dari sejarah ini, bangsa Melayu pernah mengalami kemajuan dan ianya hendaklah diteruskan sampai bila-bila. Selain itu, fenomena yang berlaku dewasa kini jika diteliti, kebanyakan telah berlaku pada masa lampau. Pada zaman jahiliyah, masyarakatnya akan menanam hidup-hidup bayi perempuan. Apa bezanya zaman serba moden ini jika dibanding dengan gejala membuang anak di merata tempat.


Hati manusia selalu bergelora mengikut keadaan. Dengan sejarah, ianya boleh menetapkan hati manusia. Orang yang semangat juang tinggi tidak selamanya akan kekal. Bila menatapi sejarah, ia membangkitkan semangat baru agar pejuang terus thabat di atas prinsipnya.

No comments:

Post a Comment