Tuesday, June 22, 2010

Kaji Sistem Peperiksaan


ARKIB : 09/09/2004

Oleh WAHID HASHIM
(WARTAWAN UTUSAN)

SEJAK negara mencapai kemerdekaan pada 1957, sistem pendidikan kebangsaan mengalami bermacam-macam perubahan. Namun, kritik sosial melihat perubahan itu menjurus kepada penguncupan minda berbanding pemikiran yang lebih lateral.

Pendidikan kita gagal kerana tidak kontemporari. Kerana tidak mahu berubah, sistem kita dicap tidak liberal.

Bukan itu sahaja, kalau menyemak balik fail-fail lama, maka kita dapati kritikan juga menyentuh kelemahan sistem, kandungan dan format.

Malah ada pandangan yang menyebut sistem pendidikan merupakan virus yang merosakkan keseluruhan sistem di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Tahap pencapaian bahasa Inggeris pula sangat lemah. Perumpamaan yang diberikan oleh seorang ketua jabatan bahasa Inggeris di sebuah IPTA kepada Utusan Malaysia baru-baru ini ialah kalau sekarang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 mendapat A2, maka tarafnya kepada calon SPM 1985 mungkin hanya C4.

Kritik itu bukan cerminan emotif media massa, tetapi ia datang dari segenap hierarki masyarakat, daripada orang biasa sehingga kepada anak raja, daripada seorang profesor sehingga penarik beca.

Apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengkritik corak peperiksaan kita gagal melahirkan keaslian pemikiran, kekuatan analisis, daya imaginatif serta tidak inovatif, maka sistem pendidikan kita seolah-olah telah runtuh.

Walau yang disinggung oleh Raja Nazrin hanya aspek teknikal format peperiksaan, namun ia memberi kesan kepada keseluruhan sistem.

Buah fikiran anak raja yang memegang ijazah kedoktoran falsafah itu mempunyai wibawa dan kelayakan. Kita boleh berpegang dan berhujah atas landasan hujah beliau.

Secara yang mengkhusus, beliau menujukan kritiknya kepada corak format peperiksaan.
Maka kalau itu yang dikritiknya, yang paling layak terasa pedas paling kepalang ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Format peperiksaan adalah wacana teknikal. Di dalamnya terkandung aspek pedagogi, psikologi dan teknologi.

Lebih dalam lagi, ia perlu distruktur supaya sesuai dengan konsep soalan beraras, mematuhi wajaran konstruk, cakupan konteks, masa menjawab, jenis soalan, serta pelbagai aspek teknikal lain.

Pada masa yang sama, pihak yang bertanggungjawab juga cuba memperkenalkan soalan yang berkonsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran berfikir, Strategi Berfikir (KBSB).

Pelbagai teori pendidikan dari Barat dan tempatan diterapkan ketika menggubal peperiksaan.
Bagi yang mengikuti aspek rencam ini, maka sebenarnya banyak perubahan yang telah berlaku dalam penggubalan format peperiksaan dan pentaksiran dalam sistem pendidikan ini.

Lawan kepada objektiviti ialah kreativiti dan terbuka.

Satu sistem dikatakan bercorak objektif apabila semua pelajar perlu menjawab mengikut satu skema sahaja.

Sebagai contoh, kalau pelajar ditanya bagaimana hendak membuka tudung botol gabus, maka daripada perspektif di Malaysia, jawapannya ialah merendam dalam air panas. Jawapan lain tidak boleh diterima. Pelajar yang menjawab, ia boleh dibuka dengan pembuka tutup botol, juga salah, sedangkan ia sebenarnya boleh diterima. Bentuk tertutup begini dipanggil respons terhad.
Jawapan mengikut skema tidak mengundang kreativiti.

Bagi yang berlatarbelakangkan pendidikan di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat (AS), corak pendidikan di Malaysia memang aneh. Di sana, peperiksaan adalah `berasas sekolah', iaitu tiada peperiksaan bersifat kebangsaan. Setiap daerah ada sistemnya sendiri. Jadi, kebanyakan soalan bersifat respons terbuka kerana guru tidak perlu menyemak kertas yang banyak. Guru sanggup menerima pelbagai jawapan mengikut kreativiti pelajar.

Di AS, tiada istilah `panduan menjawab peperiksaan' akibat respons terbuka yang mencambahkan kreativiti ini.

Guru sekolah yang memeriksa kertas peperiksaan pelajar.

Di Malaysia, yang mempunyai sejarah dalam hubungan kaumnya yang tersendiri, maka Dasar Pendidikan Negara (DPN) digubal untuk menyatupadukan kaum dengan acuan satu kurikulum.
Penyeragaman menimbulkan banyak kekangan teknikal seperti memeriksa terlalu banyak kertas setiap kali peperiksaan kebangsaan. Lebih parah lagi kalau soalan respons terbuka ditanya kepada pelajar. Bagaimana kalau satu soalan respons terbuka mempunyai 10,000 jawapan yang berbeza?

Oleh kerana keseragaman kurikulum di seluruh negara jugalah, maka soalan peperiksaan perlu berdasarkan konstruk sukatan pelajaran.

Kalau hendak melaksanakan corak kreativiti, guru perlu dilatih secukupnya, dan pemahaman kognitif mereka perlu dicanai sematang-matangnya.

Guru sering dikatakan gagal melaksanakan sesuatu pendekatan.

Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bertema Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan, pada halaman 83, perkara 3.75 menyebut:
``Kelemahan dalam pelaksanaan dan penyampaian kurikulum menghalang pendidikan menengah daripada memenuhi keperluan pendidikan kemahiran seperti pemerolehan dan penguasaan kemahiran generik aras tinggi, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan kemahiran menguruskan sumber.''

Penyampaian di sini merujuk kepada cara guru dan pegawai di peringkat akar umbi melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Kita juga khuatir, guru bermentaliti objektif hasil daripada sistem pendidikan objektif ini akan `kembali ke sekolah' membawa sekali pemahaman kognitif untuk disebarkan di sekolah.
Indikator terhadap corak objektif yang paling ketara ialah semua orang mahu mengejar kejayaan.

Kejayaan pula ditakrif daripada gred yang diperoleh.

Baru-baru ini, ketika berbual dengan seorang guru di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, beliau menggambarkan tekanan kepada indikator gred untuk calon SPM seperti berikut:
``Dulu orang cuma bertanya dapat gred berapa, sebelum nak tahu berapa agregat. Apabila SPM Pensijilan Terbuka diperkenalkan pada 2000, orang tanya berapa A, dan sekarang orang tanya berapa 7A, 8A atau 10A.''

Tekanan terhadap `berapa A' itu benar-benar memberi implikasi yang menyeluruh kepada kehidupan generasi muda di negara ini.

Yang merasakan dirinya gagal bersaing untuk mendapat berapa A ini akan memilih jalan hidupnya sendiri.

Kita perlu menangani sesuatu isu secara yang mengkhusus, tetapi sesuai dengan keseluruhan organisasi.

Sekiranya isu yang diperkatakan ialah peperiksaan, maka segala jenis penilaian di sekolah perlu dirombak.

Kita perlu bersedia menerima perubahan, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perpaduan kaum dan bernegara di Malaysia, seperti mana yang kita kecapi sepanjang 47 tahun ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0909&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Monday, June 21, 2010

Hari Bapa...


Semalam merupakan hari istimewa buat kaum lelaki yang bergelar bapa. Hari Bapa di Malaysia disambut pada hari Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun. Suami atau bapa adalah ketua dalam bahtera rumah tangga. Selain daripada tanggungjawab mereka memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, mereka jua mempunyai tanggungjwab yang amat berat iaitu memastikan ahli keluarga tidak berada dilandasan salah yang menyebabkan jatuhnya ke dalam api neraka.

ياأيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا

Alhamdulillah, saya mempunyai bapa yang sangat prihatin dan penyayang. Beliau memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama yang cukup. Baginya, pendidikan agama amat penting kerana ia akan mengajar erti kehidupan sebenar sebagai khalifah Allah di dunia. Walaupun bapa tidak mampu mengajar kami akan agama, tetapi ada pilihan lain lagi untuk memahamkan kami tentang Islam iaitu dengan menghantar ke sekolah agama.

Harapannya, bapa hendak melihat kami menjadi hamba Allah yang bertaqwa dengan mentaati perintah dan laranganNya. Untuk digelar sebagai anak soleh dan solehah, kefahaman agama begitu penting. Dengan agama, akal dapat dipimpin melalui wahyu Ilahi dan nafsu dapat dikawal. Maka akan lahirlah insan yang soleh dan solehah.

Pendidikan material seperti wang tidak akan membina jadi diri seorang anak. Malah secara tidak langsung bapa mendidik anak cintakan kebendaan. Akhirnya anak itu akan merasakan kekurangan sekiranya dia tidak memperoleh kewangan, bukannya merasakan kekurangan bila bapa tidak berada disampingnya. Anak-anak lebih menantikan pemberian daripada menantikan pemberi.

Kasih seorang bapa tidak seperti kasih seorang ibu. Belaian dan kasih ibu ada sentuhan tersendiri. Begitu juga dengan bapa. Kasih sayang bapa ditunjukkan melalui tindakannya seperti pergi menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya, pergi menjemput anak di stesyen bas seusai tiba dari perantauan, bekerja membanting tulang mencari nafkah dan lain-lain. Bapa sukar untuk ungkapkan lafaz kasih dan sayang mereka terhadap anak-anak. Namun bagi bapa, sudah memadai dengan tindakannya itu. Tinggal lagi, anak-anak sahaja yang perlu menilai kasih sayang seorang bapa.

Bapa sanggup berhidup susah demi kebahagian anak-anaknya. Mereka tidak mahu kesusahan yang mereka hadapi suatu ketika dahulu berulang kembali terhadap anak-anaknya.

Selamat Hari Bapa buat ayahku yang tercinta, Abu Mukhtar bin Mustafa..

Monday, June 14, 2010

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah


KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki hanya akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.

Sumber : www.harakahdaily.net

Monday, June 7, 2010

Teks usul PM kutuk Israel di Parlimen


Berikut ialah teks penuh usul yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini bagi mengutuk serangan kejam tentera rejim Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Bismillahirrahmanirrahim.

Tuan Yang di Pertua,
Pagi ini, dalam dewan yang mulia ini, di tapak istana demokrasi yang berkeramat, kita sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa maupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.

Dengan izin saya ingin mengungkapkan kata-kata Nelson Mandela yang cukup bermakna "Palestine is the greatest moral issue of our age".

Justeru, sebelum berbicara lebih lanjut, seelok-eloknya saya merentet kembali 4 peristiwa besar yang melibatkan salah laku kotor dan busuk oleh Rejim Zionis. Pertama, sebermula lebih 60 tahun yang lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri.

Seawal tragedi Naqbat tahun 1948, penduduk Palestin telah dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel yang telah buat pertama kali ketika itu memperkenalkan terorisma sebagai kaedah untuk mencapai matlamat mereka.

Kedua, sekitar akhir tahun 60-an, selepas apa yang digelar peperangan enam hari, di atas tanah-tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan pula penempatan-penempatan haram tanpa rasa bersalah atau segan silu. Kemudiannya, peristiwa ketiga pada tahun 1982, tentu tidak dapat dilupakan yakni tragedi pembantaian ganas ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa di kem pelarian Shabra dan Shatila.

Keempatnya pula, saya yakin masih segar dalam ingatan ramai, akan serangan ketenteraan Rejim Zionis ke atas Wilayah Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua.

Apa yang jelas, tragedi-tragedi itu ternyata lukanya masih lagi bukan sahaja belum sembuh, bahkan kekal, kuning, bernanah di sanubari masyarakat dunia.
Kini, tampaknya kesan hirisan itu terus dilukai oleh satu lagi episod tidak berperikemanusiaan.

Peristiwa pembunuhan kejam 9 sukarelawan oleh komando Israel tanggal 31 Mei 2010 baru-baru ini pastinya telah menyimbah minyak ke atas api kemarahan masyarakat dunia yang kini marak menyala dan membakar perabung-perabung dada.

Jadinya, demi menyuarakan ketegasan negara tentang peristiwa berdarah yang telah terjadi, saya menyeru ahli-ahli yang berhormat sekalian, bersama sama saya, sepakat, seia sekata, sederap menyampaikan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Rejim Zionis ini.

Tuan Yang di Pertua,

Dengan ini saya mencadangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), Dewan ini mengambil ketetapan-ketetapan berikut:

BAHAWA, Tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah menyerang tanpa alasan dalam perairan antarabangsa, konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010.

Kejadian itu mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan tersebut;

BAHAWA, serangan Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan itu merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

BAHAWA, sentimen yang sama telah pun disampaikan melalui Kenyataan Bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN – Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan kutukan keras terhadap tindakan Rejim Zionis Israel ini;

BAHAWA, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian, tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza tersebut; dan

BAHAWA, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas Rejim Zionis itu.

Dengan ini dewan mengambil ketetapan seperti berikut:

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;

(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;

(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;

(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;

(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);

(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;

(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;

(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;

(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;

(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;

(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;

(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;

dan

(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan kejam oleh tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tuan Yang di Pertua,

Malaysia, mengecam tindakan kejam tentera Rejim Zionis Israel di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang telah bertindak menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei 2010 yang lepas. Malaysia dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab rejim zionis yang bukan sahaja melanggar norma-norma perundangan antarabangsa tetapi juga tata kelakuan bertamadun.

Serangan subuh oleh Tentera Rejim Zionis ini ternyata telah mencabul prinsip kebebasan perairan antarabangsa kerana faktanya tindakan ala kelanunan terhadap Freedom Flotilla ini dilakukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza iaitu di luar dari perairan wilayah Israel.

Perbuatan durjana ini telah mengakibatkan kehilangan 9 nyawa dan puluhan kecederaan kepada mereka yang sedang menjalankan misi mulia membawa bantuan kemanusiaan kepada ribuan rakyat Gaza.

Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.

Tuan Yang di Pertua,

Serangan tidak berperikemanusiaan ini telah memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera Rejim Zionis yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Mereka tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan semasa menawan kapal Mavi Marmara, kepunyaan Turki. Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan.

Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, semalam saya berpeluang mendengar sendiri daripada mulut 12 orang rakyat Malaysia yang terlibat akan detik-detik cemas dilalui mereka semasa serangan sedang berlangsung. Saya telah dimaklumkan bahawa mereka telah turut didera secara mental semasa dalam tahanan.

Dalam hal ini, kerajaan berasa bangga walaupun Malaysia sederhana dari segi saiz namun terbukti kita tidak sekali-kali berjiwa kerdil bahkan memiliki semangat kental yang menggunung lagi membumbung di medan juang.

Sesungguhnya, kerajaan telah mengambil segala tindakan yang wajar dan perlu bagi memungkinkan kebebasan para sukarelawan negara termasuklah dengan menghantar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar ke Jordan. Tahniah kepada Kementerian Luar Negeri.

Lantaran itu, saya, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin menegaskan bahawa kumpulan 12 ini bukannya penjenayah mahupun penceroboh sebaliknya mereka adalah wira-wira Malaysia. Sesungguhnya keberanian kumpulan 12 ini yang sanggup menghadapi bahaya muncung senjata demi matlamat dan prinsip yang tulus murni akan suatu hari nanti tersepuh dengan tinta emas dalam susur galur sejarah negara. Hakikatnya, kita mengiktiraf mereka semua sebagai pejuang kebebasan sejati yang amat dibanggakan.

Tuan Yang di Pertua,

Kita tahu benar, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Sungguhpun begitu Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar pada 31 Mei yang lalu bagi membincangkan serangan tentera Rejim Zionis ke atas konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Nyatanya sejak enam dekad yang lalu Rejim Zionis telah terus-terusan menzalimi rakyat Palestin. Walaupun pelbagai Resolusi telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi semuanya tidak dihiraukan oleh Israel.

Perbuatan beraja di mata dan beraja di hati ini berlaku kerana samseng dunia Israel berasa mereka dilindungi satu-satunya kuasa besar dunia. Sehubungan dengan itu, Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim tersebut mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertanggungjawab dan bertamadun.

Ketahuilah bahawa, piawai moral dan etika sebuah negara bangsa tidak boleh berbeza dengan piawai yang dikenakan kepada individu. Tambahan lagi, kepentingan nasional sesebuah negara bangsa tidak boleh mengatasi piawai asas kemanusiaan hanya kerana mereka mempunyai kekuasaan.

Pegangan bahawa siapa kuat dialah kudrat sudah tidak boleh dipakai lagi. Dalam kata lain, tidak ada bezanya keganasan kumpulan dan individu berbanding keganasan yang dilakukan negara bangsa. Ia tetap keganasan yang perlu dipertanggungjawabkan serta diadili.

Tuan Yang di Pertua,

Jika kebenaran berpunca dari muncung senjata bukannya dari kebenaran undang-undang dan prinsip moral universal maka keamanan dunia akan sentiasa berada di hujung tanduk. Bukankah sejarah sudah cukup mengajar kita bahawa peperangan dunia pertama dan kedua yang mengorbankan nyawa bukan sedikit jumlahnya dan mengakibatkan kemusnahan yang bukan enteng adalah berpunca daripada kekuatan muncung senapang?

Dunia tidak boleh membenarkan rasisme yang berteraskan prinsip bahawa ada bangsa yang lebih mulia dari bangsa yang lain menjadi satu pegangan di dunia ini. Bukankah dunia telah membayar harga yang mahal untuk menewaskan Nazisme dan Fasisme.

Makanya, selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis Israel bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya.

Tuan Yang di Pertua,

Dalam pada Malaysia kecewa di atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras sewajarnya terhadap Rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sedang menderita. Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan kendiri ekonomi dapat dibangunkan.

Saya sendiri baru-baru ini, telah menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Tuan Yang Terutama Presiden Negara Palestin, Mahmoud Abbas semasa lawatan beliau ke Malaysia.

Malaysia akan terus mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela tindakan ganas Israel dan supaya pemimpin-pemimpin Rejim Zionis yang bertanggungjawab dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Malaysia juga akan menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tuan Yang di Pertua

Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah dirampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis. Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa.

Malaysia juga berasa amat sedih dan sangat kesal dengan situasi kemanusiaan meruncing yang sedang berlaku di Gaza akibat kepungan Rejim Zionis. Sekatan dan kepungan kejam Rejim Zionis ini telah mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan, bahan mentah serta minyak bagi keperluan kehidupan harian masyarakat Palestin di Gaza.

Tuan Yang di Pertua,

Mutakhir, semalam perkembangan terbaru, kita mendapat berita tentang usaha-usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berkaitan isu ini. Suka saya menyatakan, Malaysia menyokong sebarang cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden yang telah berlaku. Malaysia tiada masalah malahan menyokong jika Sir Geoffrey Palmer, mantan Perdana Menteri New Zealand yang diamanahkan untuk mengetuai siasatan antarabangsa ini.

Tuan Yang di Pertua

Alhamdulillah, di atas segalanya, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana rakyat Malaysia yang ditahan oleh Rejim Zionis, telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air. Kejayaan ini, tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan pertolongan negara-negara sahabat.

Dalam hal ini, Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan juga negara-negara lain yang bersedia menghulurkan bantuan dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis.

Begitulah, kita juga berbangga dengan semangat waja 6 lagi wira Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana di celah-celah ketidaktentuan suasana, telah memilih untuk mara ke hadapan sekalipun mengetahui risiko yang bakal ditempuhi. Syukurlah, tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Setakat hari ini, kita mendapat maklum bahawa usaha-usaha membawa mereka kembali sedang diatur dan disusun. Didoakan agar semuanya berada dalam keadaan selamat sehingga pulang ke Malaysia nanti.
Tuan Yang di Pertua,

Dunia terus menyaksikan pelbagai gelagat dan tindakan zalim yang telah dilakukan oleh Rejim Zionis Israel, termasuk insiden terbaru ini. Perlu saya gariskan, kezaliman seumpama ini akan berterusan dan mungkin tiada noktahnya sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri.

Tindakan ini akan hanya membuatkan Rejim Zionis Israel terus bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan sehingga rakyat Palestin kian terbelenggu mencari sinar kedamaian.

Harus juga dinyatakan kepada semua Ahli Yang Berhormat bahawa, tanggungjawab untuk menghentikan penindasan yang berlarutan di Palestin selama ini, adalah tanggungjawab kita bersama, perlu ditangani, di mana keamanan boleh dicapai sekiranya wujud keikhlasan.

Namun kita menyedari bahawa tidak semua orang Yahudi menyokong dan bersekongkol dengan Rejim Zionis Israel. Ramai orang Yahudi juga yang cintakan keamanan dan mahukan keadilan diberi kepada bangsa Palestin.

Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang melangkaui kepercayaan agama, melibatkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan. Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar bencana kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini, dapat dihentikan dengan serta-merta.

Tuan Yang di Pertua, saya mohon mencadangkan.

Sumber : http://malaysiakini.com/news/133845

Saturday, June 5, 2010

Bersatu Meraih Kekuatan



Isu serangan tentera Israel terhadap konvoi keselamatan ke Gaza telah membuka mata dunia akan keganasan dan kekejaman yang dilakukan dalam negara Palestin. Insiden yang terjadi menggambarkan pecisan keganasan yang dulu dan sedang berlaku di Gaza. Malah lebih dahsyat.

Konvoi tersebut hanya bermatlamatkan untuk membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza yang dilanda kemiskinan makanan, perubatan dan pembangunan akibat sekatan yang dijalankan oleh pihak Zionis. Namun, niat murni delagasi ini terbantut apabila serangan tentera Israel perairan Gaza.

Sebelum ini, pasukan konvoi mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak membawa sebanrang peralatan peperangan. Mereka hanya membawa lebih kurang 10 ribu tan bahan makanan, perubatan dan bahan binaan.

Hal demikian tidak dipedulikan. Malah Zionis menghantarkan tenteranya yang siap bersenjata bagi menyekat konvoi ganbungan beberapa negara. 20 sukarelawan mati akibat serangan itu. Yang lain, mereka dibawa masuk ke penjara.

Takutnya Zionis Yahudi

Konvoi Lifeline4Gaza terdiri daripada gabungan beberapa NGO seperti Haluan, Muslim Care dan lain-lain. Pun begitu, terdapat juga negara-negara lain yang turut serta dalam membantu rakyat Gaza. Keprihatinan atas isu kemanusiaan, beberapa negara ini bergabung melibatkan ahli parlimen seperti Jerman yang juga bersama dalam konvoi tersebut.

Mereka hadir bukan atas nama kerajaan sesebuah negara. Tetapi mereka pergi atas kesedaran beberapa buah NGO yang sebelum ini memperjuangkan Isu Palestin di Malaysia. Namun, mereka diserang tentera Zionis yang arahan dan perintahnya dikeluarkan oleh Kerajaan Haram Israel.

Kerajaan Haram Zionis menyerang gabungan NGO. Satu tindakan yang tidak adil. Inilah menunjukkan sebenar Yahudi takut.

Kesatuan Menunjukkan Kekuatan

Kekuatan yang ada pada konvoi itu adalah kesatuan atas nama keadilan dan kesaksamaan. Kesatuan ini telah menyebabkan Yahudi Israel takut dan hilang punca. Pada hal pasukan konvoi pergi hanya ingin membantu rakyat Palestin yang tertindas, bukannya ingin bertempur dengan Yahudi Israel.

Ini baru gabungan beberapa NGO. Bayangkan sekiranya gabungan negara-negara Islam khususnya. Mungkin kekuatan yang terhasil lebih utuh dan kukuh, bersatu menentang kezaliman dan membebaskan bumi al-Quds yang sudah 62 tahuan berada di cengkaman Yahudi.

Gambar Sekitar Demonstrasi Palestin di Kedutaan Amerika





Guru cuti dua Sabtu sebulan

Pengetua wajib beri rehat untuk kurangkan beban tugas pengajar

PASIR PUTEH: Pengetua dan guru besar wajib memberi rehat kepada guru pada setiap dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan untuk mengurangkan beban tugas mereka, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata mereka tidak boleh memaksa guru-guru bertugas pada setiap hari Sabtu dengan aktiviti kokurikulum dan akademik.

Surat pekeliling mengenainya sudah dikeluarkan kepada setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Hari Kecemerlangan sekolah-sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini semalam.

BERNAMA memetik Alimuddin berkata, pihak sekolah bagaimanapun boleh mengadakan aktiviti luar pada dua hari Sabtu setiap bulan dengan syarat merancang jadual lebih awal untuk memberi ruang guru merancang aktiviti keluarga.

Selain itu, beliau berkata, jika Sabtu jatuh pada hari kelepasan am, sekolah sama sekali tidak boleh memaksa guru bertugas.

Beliau mengulas rungutan guru yang dipaksa guru besar dan pengetua supaya mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu, menyebabkan mereka tiada waktu rehat secukupnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mempertimbangkan supaya guru hanya bekerja lima hari seminggu, sama seperti penjawat awam lain.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar akur surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Katanya, ini kerana tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru sendiri.

“Jika guru dikerah mengajar setiap Sabtu, ia boleh menyebabkan mereka hilang fokus akibat keletihan apabila mengajar pada minggu berikutnya.

“Keputusan supaya guru wajib diberi rehat dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan adalah langkah yang tepat, namun NUTP tetap berpendapat guru wajib rehat pada setiap Sabtu,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kementerian mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 yang memberi kelonggaran kepada sekolah melaksanakan program pendidikan tidak lebih dua kali Sabtu dalam sebulan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GurucutiduaSabtusebulan/Article/

Thursday, June 3, 2010

Jom Sertai Demo Anti Israel


Dimaklumkan bahawa Demontrasi Anti Israel anjuran Pakatan Rakyat dan NGO yang akan diadakan pada 4 Jun 2010 akan bermula selepas Solat Jumaat di Masjid Jamek Kg. Baru dan berarak ke Kedutaan Amerika. Pihak penganjur tidak mengadakan apa-apa himpunan di Masjid KLCC atau Tabung Haji.


Perarakan ini akan dipimpin oleh Presiden PAS, YB. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang bersama YB. Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan YB Lim Kit Siang (DAP) serta pimpinan-pimpinan NGO. Wakil Konvoi Freedom Flotilla juga akan turut hadir bersama.