Monday, August 31, 2009

Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia kali ke 52

Saya teringat kata-kata Ruba'e ibn Amir ketika berhadapan dengan panglima Rom. Panglima ini bertanya kepada si pemuda yang gagah, mewakili tentara Islam yang akan berperang dengan mereka, di atas tujuan apakah mereka datang untuk berperang. Maka, dengan rasa penuh yakin, Ruba'e menjawab :

"Sesungguhnya Allah telah menghantar kami untuk membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, dan juga kami mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia menuju keluasan negeri Akhirat"

Lihat, begitu hebatnya ungkapan yang dilontarkan oleh seorang pemuda bila berhadapan dengan musuh. Tanpa rasa takut dan gerun pada pihak musuh yang pernah menjadi kerajaan yang menguasai sebahagian dunia dengan corak tamandunnya.

Sempena 52 tahun kemerdekaan Malaysia yang kita cintai, mari kita bersama-sama menghayati ungkapan keramat ini. Kalimah ini adalah antara maksud sebenar kemerdekaan. Kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepada rakyat Malaysia, hidup dengan aman, dijauhkan dengan bencana alam, kurang krisis politik dan bebas melakukan aganda kebajikan.

Bukan sekadar ini sahaja yang kita mahukan, malah lebih dari itu. Kita ingin lihat Malaysia ini dipayungi oleh perlembagaan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Saya rakamkan tahniah kepada pejuang-pejuang terdahulu yang berjuang habis-habisan menghalau penjajah keluar dari Tanah Melayu. Kita kenang jasa mereka di atas pengorbanan yang mereka curahkan. Semoga Malaysia menjadi negara yang makmur, yang juga diberi keampunan oleh Allah.

بلدة طيبة ورب الغفور

Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar

Bersama dengan Dr. Khalif Muammar


Wacana Ilimiah ini merupakan program bedah yang julung kalinya diadakan oleh Persatuan Pendidikan Islam UPSI. Pada mulanya perancangan ingin menjemput Ustaz Hasrizal (Saifulislam) bagi membentang buku beliau yang bertajuk Bercinta Sampai ke Syurga Memandangkan sebelum ini sudah ada tajuk cinta yang dibahaskan di atas pentas forum di beberapa kolej kediaman, maka PPIUPSI menukar tajuk ke Atas Nama Kebenaran Tanggapan Kritis Tarhadap Wacana Islam Liberal.

Dr. Khalif Muammar merupakan penulis buku tersebut. Beliau menghasilkan sebuah buku itu yang memakan selama tiga tahun lebih (hasil perbualan dengan beliau). Beliau menggabungkan lembaran kertas kerja yang pernah dibentangkan di seminar-seminar yang lepas.

Sewaktu beliau membentangkan isi pokok penulisan buku Islam Liberal, beliau banyak melontarkan idea daripada peribadi sendiri. Bagi saya, Dr. Khalif seorang pemikir yang kritis terdapat isu ini kerana sangat teliti mengambil pandangan sarjana-sarjana dan para ulama muktabar.

Sangat menarik dalam wacana ini apabila beliau banyak mengupas hal-hal semasa. Antaranya beliau menjelaskan, pada zaman moden yang serba canggih, battle of idea atau pertembungan idea menjadi satu trend dalam kehidupan. Manusia hanya menggunakan akal logik semata-mata tanpa merujuk kepada nas-nas yang juga membenarkannya.

Kini, siapa yang dapat menjana pandangan dan idea yang boleh mempengaruhi orang ramai, maka individu tersebut dapat menguasai dunia. Ini antara unggapan yang Dr. Khalif sebutkan kepada para peserta wacana.

Walaupun tajuk wacana amat berat untuk dibincangkan, tetapi PPIUPSI cuba mewujudkan budaya ini supaya ia menjadi satu anjakan paradigma bagi mahasiswa yang lain menuruti jejak langkah ini.

Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar

Saturday, August 29, 2009

Wacana Eksplorasi Buku : Salahuddin al-Ayubi Penakluk Jerusslam

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kerana telah berjaya menganjurkan satu program yang begitu baik untuk mahasiswa iaitu Wacana Eskplorasi Buku. Topik yang diperbincangkan sangat signifikan bagi mahasiswa, sebuah buku yang bertajuk Salahuddin al-Ayubi.
Antara barisan panel yang mengupaskan buku ini ialah En. Abdul Latip (mesra dengan panggilan Pak Latip), penulis buku dan En. Muhammad Kamal, pensyarah UPSI serta dikendalikan oleh saya sendiri. Apa yang menarik dalam wacana ini, barisan panel membawa kita ke zaman Sultan Salahuddin, bagaimana etika peperangannya bertempur dengan tentera Salib, yang cuba meneladani daripada cara peperangan Rasulullah.

Disini para peserta wacana dapat menilai, setiap kali tentera Salahuddin berperang dengan tentera Salib, mereka memperoleh kejayaan yang gemilang. Hal ini disebabkan, sunnah peperangan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah, Salahuddin tidak pernah meninggalkan sunnah tersebut.

Tidak memusnahkan tanaman, bangunan-bangunan, gereja atau rumah ibadat, tidak membunuh kanak-kanak, kaum wanita serta orang-orang tua adalah antara etika peperangan yang dianjurkan oleh Islam. Apa yang penting dalam sejarah menebus kembali Baitul Maqdis, Salahuddin merupakan seorang pemuda Islam yang jelas hala tuju kehidupannya dengan berpaksikan La Ilaha Illallah.

Beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan materil selepas pertempuran, apa yang dimohon adalah keredhaan Allah semata-mata. Ayuh mahasiswa! marilah kita sama-sama meneladani sejarah Islam yang agung ini, supaya generasi kita pula yang menebus kembali tanah suci al-Quds daripada genggaman Israel.

Kenangan Bersama PPIUPSI

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi nikmat Iman dan Islam, nikmat paling besar yang kita kecapi. Pada bulan September 2007, di dalam mesyuarat agung PPIUPSI kali 4, saya di amanahkan sebagai Presiden PPIUPSI pada sesi 07/08. Saya bersama-sama rakan pimpinan PPIUPSI yang lain merancang bagaimana hendak menyebarkanluaskan fikrah Islam dibumi UPSI. Semakin hari, PPIUPSI semakin diterima oleh masyarakat kampus dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Kemudian, pada tahun 2008, sekali lagi saya dipilih sebagai presiden untuk sesi 08/09 bagi menerajui PPIUPSI yang kian berkembang, melangkah maju ke hadapan. Ahli PPIUPSI semakin bertambah dengan kemasukan major Pendidikan Islam (PI) pada setiap kali pihak universiti mengambil pelajar baharu. Sekarang ini, sudah terdapat lima generasi mahasiswa PI di UPSI.

Tanggal 23 Ogos 2009 bersamaan 2 Ramadhan 1430H, mesyuarat agung PPIUPSI kali ke 6 telah dijalankan mengikut ketetapan pihak HEP. Lazimnya, setiap organisasi perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi menilai kembali prestasi perjalanan gerak kerja sepanjang sesi pemerintahan dan juga medan muhasabah. Saya telah melepaskan jawatan sebagai presiden di dalam bulan yang mulia sama seperti saya dilantik pada tahun 2007 dan kini telah diambil alih orang yang baharu.

Semoga dengan kepimpinan yang baharu, boleh memperkasakan dakwah melalui medium PPIUPSI. Pihak universiti sangat mengalu-alukan program yang berunsurkan islamik dan dakwah. Banyakkan kerjasama di antara mana-mana pihak seperti persatuan, NGO dan lain-lain supaya agenda dakwah terus tercapai.

Sepanjang saya memegang amanah yang diberikan, banyak kekhilafan dan kelemahan yang terdapat dalam melaksanakan tugas. Saya memohon ampun dan maaf kepada rakan-rakan dan ahli PPIUPSI sekiranya terguris di hati sepanjang kita bersama. Juga, saya rakamkan ucapan tahniah dan takziah kepada teman-teman yang baharu sahaja dilantik sebagai kepimpinan PPIUPSI ses 09/10. Saya akhiri dengan kata-kata yang indah :

خير الناس أنفع للناس
"Sebaik-baik manusia, manusia yang bermanfaat pada manusia lain"

Sekian.

Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar
Mantan Presiden
Persatuan Pendidikan Islam
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Thursday, August 27, 2009

Forum Kemerdekaan 2009

Hari : Jumaat
Tarikh : 28 Ogos 2009 / 8 Ramadhan 1430H
Masa : 10.30 malam (Selepas solat terawih)
Tempat : Perkarangan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR)

Moderator : Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar

Ahli Panel 1 : Ust Anhar bin Opir
Ahli Panel 2 : Ust Mior Effendi

Semua Warga Kampus Dihadir

Logo Rakan Surau al-Falah

Wacana Ilmiah : Islam Liberal