Tuesday, December 15, 2009

Pengembaraan ke Kedah Sejahtera

Gambar kenangan di hadapan rumah saya

Tiga orang jejaka ketika berada di kolam udang ayah saya

Bersama dengan datuk Aisyah di rumah bada saudaranya di Sungai Petani

Keletihan menunggu rombongan dua buah kereta di rumah Munirah, di Pendang

Sunday, December 6, 2009

ESQ 165 Training altenatif baharu



Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang Biro Tata Negara (BTN) yang merupakan proksi kepada pihak pemerintah ekoran kerajaan negeri Selangor yang tidak membenarkan kakitangan kerajaan negeri serta pelajar IPT mengikuti kursus tersebut.

Mungkin ada relevennya dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor dan mungkin tidak. Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menuruti jejak langkah Selangor. Namun usul itu telah ditolak sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung.

BTN merupakan suatu kursus yang dianjurkan oleh kerajaan pusat yang menekankan aspek semangat patrotisme terhadap negara tercinta. Mereka yang berkerja dan berkhidmat bersama agensi kerajaan akan melalui program BTN ini. Mahasiswa juga tidak terlepas daripada mengikuti kursus ini.

Kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak yang membuka mulut dan menyatakan bahawa BTN telah digunakan oleh pemerintah bagi mengekalkan kuasa Barisan Nasional menguasai kerajaan pusat. Isu ini tercetus apabila Selangor dengan lantangnya menolak pendekatan BTN yang dikatakan sebagai proksi kerajaan.

TUJUAN MURNI

Untuk mencapaikan sesebuah Negara yang makmur dan harmoni, seharusnya perlu ada suatu program yang mendidik warga Negara cinta akan tanah airnya. Pada hemat saya, BTN adalah program dan modul yang mengajak rakyat ke arah mewujudkan keamanan Negara. Sekarang mungkin sudah tersasar dari matlamat asal.

Responsif pihak kementerian untuk mengkaji semula modul BTN amatlah bernas sekali. Sebelum ini, mungkin pendekatan modul yang digunapakai menjurus ke arah mengekalkan kuasa politik tertentu. Dengan penilaian semula modul tersebut, ianya akan meningkat produktiviti keluaran peserta yang mengikuti program itu supaya menjadi warga Negara yang penuh integriti.

ESQ 165

Bukan mudah untuk mencetak manusia bagi melahirkan masyarakat harmonis. Tidak cukup hanya mendoktrinkan pemikiran rakyat tanpa mendidik hati manusia agar mengabdikan diri pada Ilahi. Ianya penting kerana dengan gerakan hati, manusia boleh bertukar dari watak baik ke watak buruk dalam perlakuan kehidupannya.

Modul ESQ 165 yang diperkenalkan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian adalah pendekatan moden yang mengajak manusia mengenal diri sendiri dan sang pencipta. Penyampaian yang juga menggunakan teknologi seperti sound system canggih dan tiga atau lebih skrin besar menarik minat para peserta.

Trainer yang mengendalikan sesuatu training menyentuh kebesaran Allah swt dengan memaparkan ayat-ayat al-Quran dan hadith serta didatangkan juga fakta-fakta sains kajian manusia. Apabila manusia kenal diri sendiri, secara tidak langsung ianya akan memberi kesan pada semua pihak. Dia berusaha menjadi anak yang taat kepada ibubapa, pelajar yang berjaya, pekerja yang rajin dan warga negara yang bertanggungjawab.

Kerajaan Malaysia boleh memeteraikan perjanjian bersama dengan ESQ Training agar seluruh rakyat juga melalui bengkel tersebut. Penelitian semula modul BTN boleh bekerjasama dengan pihak ESQ atau ESQ mengantikan terus tempat BTN dalam membina rangka modul cinta akan Negara dan sekaligus cinta kepada Ilahi.

Tuesday, December 1, 2009

Aku sudah berkorban?

Alhamdulillah, Di Malaysia kita dapat menyambut perayaan Aidil Adha dengan suasana yang selesa dan aman berbanding negara-negara lain. Walaupun ada juga beberapa negeri yang terpaksa berhari raya dalam keadaan basah dengan banjir, namun terdapat negara seaqidah terpaksa beraya dalam keadaan basah dengan darah, bertempur dengan musuh agama dan negara.

Apabila saya membaca blog rakan-rakan yang menceritakan erti pengorbanan sempena hari Raya Haji 1430h, ia mengingatkan kembali kisah pengorbanan yang begitu besar dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah s.w.t supaya menyembelihkan anak kesayangan baginda, Nabi Ismail a.s.. Setiap tahun diperingatkan melalui forum, ceramah dan juga alunan nasyid (jika ada) tentang kisah ini. Sesiapa sahaja diminta bercakap soal demikian, pastinya secara pantas mereka boleh memutarkan semula kisah itu.

Antara perkara sunat yang dituntut dilaksanakan sewaktu hari Raya Haji ialah dengan mengadakan ibadah korban seperti menyembelih lembu, unta, kambing atau binatang ternakan yang dibolehkan oleh Islam. Binatang ternakan seperti lembu dijadikan sebagai suatu ibadah kepada pelakunya agar ianya memperoleh ganjaran pahala menerusi ibadah korban. Binatang ini sanggup berkorban untuk makhluk bergelar manusia supaya manusia mentaati perintah Allah s.w.t lantas melayakkannya berada dalam kalangan orang beriman.

Pun begitu, pakaian seperti baju, seluar dan kain batik yang setiap hari kita pakai juga berkorban untuk manusia. Ye lah, pakaian yang cukup syarat serta menepati syariat membolehkan kita pakai dengan penuh keyakinan. Pakaian juga menambahkan keanggunan seorang wanita dan keunggulan seorang lelaki berbanding insan yang tidak mengenakan apa-apa pakaian ataupun pakaian selekeh. Ianya menutup segala keaiban yang ada pada tubuh kita, pelindung dari kepanasan cahaya matahari dan kesejukan dingin angin.

Selain itu, manusia beriman perlu menunaikan segala perintah yang telah ditetapkan seperti solat. Kita perlukan tenaga pada setiap hari demi memastikan ibadah yang dikerjakan penuh kesempurnaan. Tenaga akan berhasil dari makanan yang sihat. Sayur-sayuran yang segar dan daging yang halal dimakan adalah perkara yang menambahkan tenaga kerja manusia. Sayuran dan daging juga turut berkorban untuk manusia menjadikan hamba Allah s.w.t yang bertaqwa.

Jika direnungkan kembali, perkara yang berada disekitar kita, telah banyak berkorban kepada manusia takkala manusia beriman atau sebaliknya.

Motor yang dimiliki sering ditunggangi ke tempat kita hajati.

Laptop yang dimiliki membolehkan kita menyiapkan tugasan akademik yang diberi.

Kereta yang dimiliki sering dipandu ke tempat mencari rezeki.

Rumah yang dimiliki memberi perlindungan kesejahteraan kepada anak dan isteri.

Bagaimana perngorbanan yang dilakukan oleh makhluk yang bergelar manusia? Apakah bentuk pengorbanannya terhadap agama? Sekurang-kurangnya kita sebagai khalifah sanggup berkorban demi Islam yang tercinta, melihat Islam dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tenaga yang ada pada tubuh, kesihatan yang diberikan serta akal cerdas yang dikurniakan, semuanya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk Islam.

Friday, November 13, 2009

Responsibiliti terhadap masa depan Islam


Islam yang kita kecapi pada hari ini merupakan hasil usaha orang terdahulu mengembang dan memperjuangkan Islam di serata dunia. Semangat yang berkobar-kobar ingin melihat kalimah tauhid di hati-hati insan ini ditunjukkan melalui sejarah Islam. Mereka sangat memahami tuntutan Islam kerana Islam bukannya hak individu semata-mata. Islam perlu disebarkan secara meluaskan sehingga al-Quran dan as-Sunnah dijadikan perlembagaan tertinggi dan rujukan setiap perkara.

Umat Islam khususnya di Malaysia berada dalam keadaan harmonis tanpa ada penghalang dari mana-mana pihak. Umat Islam boleh mendirikan solat di masjid, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat apabila tiba masanya dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan. Ibadah-ibadah ini dilakukan dengan penuh bertanggungjawab. Tiada alasan untuk mereka tinggalkan malah ingin menambah amalan-amalan sunat. Kelak mereka akan memperoleh ganjaran pahala sebagai tiket bagi melayakkan ke syurga.

Generasi yang memimpin Negara dan hidup bermasyarakat kini adalah hasil didikan pada tahun 50 an hingga 70 an. Sewaktu itu, pendidikan agama bukan hanya berlengar disekolah atau pondok-pondok sahaja, bahkan ianya turut berlangsung dirumah. Ibu bapa amat prihatin terhadap perkembangan anak-anak. Mereka mengharapkan anak-anak dikurniakan itu terdidik dengan didikan agama.

“Nak, jangan buat benda ni, nanti Tuhan marah…”, kita terus berhenti tanpa membantah.

“Malek, tutup tv tu, hormat waktu maghrib ni….”, kita lakukan tanpa tunjuk rasa tidak puas hati.

“Bob, pi ikut ayah tu, solat berjamaah kat masjid….”, kita hanya menurut perintah.

Ini antara pendidikan agama yang berlaku secara tidak langsung di dalam rumah. Impaknya kita akan mengamalkan apa yang diajar sehingga dewasa. Kita tidak akan meninggalkan amalan tersebut melainkan Jibrail datang mencabut nyawa.

Persoalan timbul di fikiran. Bagaimana dengan Islam akan datang? Adakah Islam dapat dirasai seperti zaman kita? Bagaimana generasi anak-anak kita? Adakah Islam akan sampai kepada mereka? Beberapa soalan yang memerlukan jawapan dan tindakan. Orang terdahulu bekerja dan menggerakkan Islam dengan sedaya upaya. Mereka sanggup bergadai nyawa demi Islam. Mereka tidak mengutamakan material sebagai pulangan hasil kerjanya. Apa yang dinginkan hanya mahu melihat Islam terus dianuti dan diamalkan masyarakat.

Bagaimana pula dengan kita? Apakah kita sudah bekerja ke arah demikian atau hanya berpeluk tubuh? Kehidupan yang selesa dan penuh dengan kenikmatan, adakah sudah menjamin sirna Islam akan datang? Pastinya kita perlu bekerja. Golongan yang hanya memikirkan Islam adalah ekstremis, individualistik dan fundemantel hendaklah kita baiki dengan menerangkan Islam yang sebenar. Pandangan-pandangan seperti Islam adalah ibadah ritual semata-mata, Islam hanya di masjid dan surau serta Islam pada dua hari raya sahaja, ia akan terhapus andainya kita bekerja. Pekerjaan ini sudah semestinya tidak mampu untuk kita lakukan seorang diri. Kerja berat ini perlu dipikul bersama.

Seharusnya persiapan bermula pada usia muda. Jangan sia-sia muda dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah malah mudarat yang diterima seperti ber’couple’, budaya melepak, merokok dan syok bermain game. Sekiranya kita berkata, ‘Aku belum bersedia’, ‘Aku tak layak’ atau apa-apa alasan yang diberikan, apakah kayu ukur untuk kita kata sudah bersedia dan melayakkan diri, bersama terjun dalam medan kerja dakwah? Ayuh bertindak.

Thursday, November 12, 2009

Pemuda Agen Pengubah siri 4


Perubahan dalam kefahaman aliran-aliran lain

Kalau demikian kefahaman perubahan cara Islam, bagaimana pula 'mafhum' perubahan aliran-aliran lain?

A) Dalam fahaman Komunis

Dalam fahaman Komunis, perubahan itu bertolak daripada hasad dengki golongan pekerja buruh dan prolitariat (golongan kelas bawah). Ia merupakan hembusan semangat dendam antara kelas-kelas di dalam masyarakat. Inilah apa yang diucapkan oleh Marx kepada golongan pekerja buruh, "Akan datang kepada kamu lima belas atau dua puluh atau lima puluh peperangan saudara di antara bangsa-bangsa untuk kamu menjadi golongan berkuasa dalam bidang politik."

Telah berkata Babun: "Sembelihkanlah golongan berkuasa dan elite serta jutawan." Berkata pula Bordon: "Dunia mesti mengetahui bahawa tidak ada jalan lain bagi melawan golongan aristokrat (atasan) selain daripada menghapuskan mereka." Puak Komunis, dalam kefahaman mereka tentang Perubahan akan menggunakan segala cara dan jalan (wasilah) yang menyeleweng semata-mata untuk tercapainya sebuah masyarakat Komunis. Lenin pernah berkata, "Semestinya bagi para pejuang Komunis boleh menggunakan semua cara penipuan, tipu-helah dan penyesatan. Perjuangan demi untuk Komunisme boleh dengan apa cara sekalipun asalkan dapat menyebabkan tercapainya Komunisme. Mesti difahami bahwa Komunisme adalah suatu tujuan tertinggi dan dalam usaha mencapai tujuan tertinggi ini kadang-kala dituntut menggunakan jalan-jalan yang tidak suci. Oleh itu Kominisme memberkati semua cara yang bertentangan dengan akhlak selama cara itu menolong dan membantu tercapainya matlamat kita iaitu Komunisme."

B)Dalam fahaman Revolusi Perancis

Revolusi Perancis yang bertujuan menentang kezaliman sosial dan penguasaan politik diktator juga telah mengikuti jalan dan wasilah yang tidak mulia serta menyalahi slogan dan prinsip yang dilaungkannya. Kata Mare,"Apakah kezaliman ini? Siapakah yang tidak sanggup menyaksikan aku memotong kepala-kepala demi melepaskan manusia ramai?" Luther pula, yang menggesa untuk memadamkan revolusi berkata, "Siapa yang mampu hendaklah membunuh, mencekik, dan menyembelih dengan secara rahsia atau secara terangterangan. Oleh itu, bunuhlah, cekiklah dan sembelihlah siapa saja dari para petani yang memberontak."

C)Dalam Protokol Zionis Yahudi

Kefahaman Perubahan dalam Zionisme pula ialah mengharuskan segala perbuatan kejam dan tindakan merosakkan demi membangunkan Kerajaan Yahuza. Dalam Protokol (Zionis) Pertama, "Politik tidak sedikitpun bersesuaian dengan akhlak, dan pemerintah yang terikat dengan akhlak bukanlah politikus yang baik. Tujuan menghalalkan cara. Maka kita hendaklah meletakkan perencanaan kita tanpa menoleh apakah ia baik atau berakhlak, apa yang penting ialah sejauh mana kepentingan dan faedahnya."

Dalam Protokol Ketiga, "Kita perlu memerintah beberapa puak dengan mengeksploitasikan perasaan hasad dengan menyalakan permusuhan mereka dengan kesempitan hidup dan kemiskinan. Perasaan ini ialah wasilah kita yang membolehkan kita menyapu (menghapuskan) setiap mereka yang menyekat tujuan kita."

D)Dalam dunia Arab

Negara-negara Arab di dalam empat kurun lepas telah memperlihatkan usaha-usaha dan gerakan-gerakan perubahan, paling tidak ianya tidak berasaskan aqidah, tidak berasaskan akhlak dan tidak juga berperikemanusiaan. Usaha-usaha dan gerakan itu lebih bersifat kepada Patriotisme, Nasionalisme, Kepuakan, Sosialisme, Komunisme dan lain-lain yang dahagakan darah dengan pembunuhan atau mencabul kehormatan, dengan mencincang mayat dan segala bentuk balas dendam.

Aliran-aliran ini ialah aliran perubahan yang telah menyimpang dan menyeleweng. Ianya berkisar pada pembunuhan beramai-ramai yang menggerunkan, sedangkan umat dan dunia memerlukan kepada suatu manhaj perubahan yang menjamin kemantapan dan kestabilan, manhaj yang menghilangkan kepulan asap kecelakaan, kegelisahan dan ketakutan. Ini semua tidak mungkin didapati dalam perubahan Islam.

PEMAHAMAN TENTANG PERUBAHAN ISLAM

Berbagai pendapat dan pandangan tentang pemahaman Perubahan Islam sehingga ia menjadi suatu keperluan bagi kita menentukan pemahaman yang sebenar, yang tidak menjadikannya suatu konsep yang salah. Perubahan Islam bukanlah suatu fenomena politik bagi sebuah negara.

Ia juga bukanlah satu ketetapan yang lahir dari sebuah negara yang mengharamkan hanya sebahagian apa yang diharamkan Allah, atau melaksanakan sebahagian dari syariat Allah.

Ia bukanlah merupakan nas dalam perlembagaan di sebuah negara yang menyatakan agama rasminya ialah agama Islam atau ketua negaranya semesti seorang yang beragama Islam.

Dalam Perubahan Islam, tidak tergambar hukuman gantung atau hukuman bunuh sebilangan kecil atau sebilangan besar mereka yang menyeleweng samada dari segi politik mahupun akhlak.

Perubahan Islam tidak berlaku dengan hanya menghapuskan kebatilan tanpa menelurkan hak.

Perubahan Islam tidak mungkin akan bercanggah dengan kepastian ilmiah atau bertentangan dengan kemajuan teknik.

Sesungguhnya Perubahan Islam itu adalah dengan meruntuhkan asas masyarakat jahiliah pada sudut pemikiran, perundangan dan juga prinsip-prinsip. Dan menggantikannya dengan pemikiran, perundangan dan prinsip-prinsip Islam di tempat itu.

Perubahan Islam bererti melaksanakan 'Ubudiyah' manusia kepada Allah di dalam semua urusan kehidupan individu dan awam.

Perubahan Islam bererti kesetiaan dan kepatuhan masyarakat, bangsa dan pemerintah hanya bagi Allah Rabb al-Alamin.

Perubahan Islam ialah perubahan dari akar umbi secara menyeluruh dan mencabut segala bentuk 'kayan' jahiliah dan bukannya usaha tempelan atau memperbaiki beberapa sudut sahaja dengan celupan Islam.

Sunday, November 8, 2009

Kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama

Setiap hari kita akan bertemu dengan pelbagai lapisan manusia terutama ketika kita berada di kawasan Bandar. Di sana juga, terdapat berbagai ragam dan jenis tindakan manusia yang berpeluang untuk kita lihat dengan dua bebola mata seperti sibuk dengan kerja, pantas melangkah kaki untuk mendapatkan LRT atau teksi, menjual air ditepi kaki lima, berjalan sambil tangan membalas SMS dan berlepak di pasaraya. Masing-masing sibuk dengan cara tersendiri tanpa perlu dikawal dan diatur oleh orang lain.

Apa kurangnya di dunia mahasiswa yang penuh dengan budaya akademik dan keintelektualan yang juga tidak terlepas dari pelbagai ragam perlakuan. Setiap hari mereka datang ke kuliah yang dijadualkan, kemudian balik ke kolej dengan menggalas tugasan ilmiah yang diberi pensyarah. Tiba ‘time’ makan, ajak kawan keluar makan bersama di mana-mana kedai atau café yang selalu dikunjung. Masa yang diperuntuk bagi menyiapkan tugasan lazimnya selama lapan ke sepuluh minggu kuliah. Masih awal lagi katanya, boleh diisikan dengan perkara yang lain. ‘Test power’ dengan bermain game bola, berYM dengan teman istimewa, bersembang berdua-duaan lewat malam di café dan pelbagai aktiviti kreatif yang dicipta sendiri.

Bila tiba waktu solat, mereka tidak terlintas di fikiran mahu berhenti dari segala kegiatan dunia dan bergegas menyahut seruan azan lantas ke surau untuk menunaikan solat berjamaah. Bila ada forum atau ceramah yang dianjurkan, diri tidak berganjak dari berborak dengan rakan sebilik untuk ke surau atau foyer kolej, mendengar nasihat dan pengajaran dari al-Quran dan as-Sunnah. Pun begitu, tiada bezanya ketika berada di bilik. Di luar dia mampu menjaga batasan aurat yang digariskan syariat. Namun pulang ke bilik, dia hanya mengenakan pakaian mangikut keselesaan dirinya tanpa menghirau tuntutan syariat walaupun dia lebih mengtahuinya.

Orang beragama berbeza dengan orang awam

Semua kelakuan tadi sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman bagi seseorang. Dia melakukan dengan tanpa ada rasa segan silu dan bersalah pada agama malahan merasa dianya betul. Orang jenis ini adalah kebanyakan orang yang berada disekeliling kita sama di kampung halaman, bandar mahupun komuniti kampus. Tatacara kehidupannya telah diatur oleh faktor semasa yang sering mendidik sehingga tiada noktah terakhir seperti televisyen. Mereka menganggap itulah cara hidup yang terbaik seperti yang ditontonkan media elektronik, bagi mereka ambil tauladan dan jadikan sebati dalam hidupnya.

Berbeza dengan orang berpengtahuan agama. Kalau mereka tidak muncul di surau setelah habis azan berkumandang, orang lain akan memandang serong terhadapnya kerana tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sekiranya kedengaran kuliah dan ceramah rancak berlangsung tetapi jasadnya belum sampai di tempat tersebut, orang lain akan memandang sinis kerana sepatutnya itulah tempat untuk dia menambah ilmu kemasyaraktan berbanding ilmu diperolehi dalam kelas.

Namun itulah yang seharusnya dilakukan oleh orang yang ber’title’kan agama. Walaupun perkara yang ditinggal itu tidak berdosa malah perkara sunat dan harus yang dituntut, tetapi hal demikian sudah sejiwa dengan peribadi orang beragama. Bukannya mereka tidak tahu dalil dan nas yang menuntut perkara kebajikan itu dilaksanakan. Kadang-kadang beralasan malas dan sibuk dengan tugasan yang menjadikan mereka jauh beramal dengan ilmu yang terpahat didada.

Inilah yang dikatakan dengan kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama. Orang beragama yang melakukan perkara yang sama dengan orang awam adalah berbeza seperti tidak turun menunaikan solat fadhu secara berjamaah. Orang awam yang meninggalkannya tidak timbul pertikaian, tetapi orang beragama akan dipersoalkan tentang kredibiliti sebagai penuntut agama Islam. Jangan mengambil enteng tentang hal ini. Ia akan memberi kesan buruk kepada orang lain yang sefikrah dengannya.

حسنات الأبرار وسيئات المقربين
Kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama.

Kata-kata ini bukanlah hadith atau athar para sahabat. Tetapi ianya merupakan suatu istilah kepada para Rasul dengan umatnya. Para Rasul adalah orang yang paling dengan dekat dengan Allah. Setiap waktu dan ketika, mereka sering mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Berbanding dengan kita sebagai umatnya. Ada di antara kita kembali ingat kebesaran Allah semasa mendirikan solat atau di musibah yang diduga.

Saya mengambil konsep situasi kita pada masa ini. Di kampus contohnya, orang yang menceburi dalam bidang agama dan golongan memperjuang agama dikatakan orang yang taqarrub dengan Allah. Mereka sentiasa diingati oleh pensyarah dan kawan-kawan akan ayat-ayat Allah dan perkara Sunnah yang ditinggalkan. Bagi mahasiswa lain, mereka tidak berpeluang dengan nikmat ini dan hanya menumpukan bidang yang mereka pilih.

Pemuda Agen Pengubah siri 3

Islam manhaj Perubahan

Satu daripada ciri-ciri Islam ialah ianya bersifat "merubah." la menolak cara menempel atau memperbaiki. Ia tidak rela dengan penyelesaian separuh-separuh atau sesuku-sesuku, atau ia tidak ingin mengharuskan hidup bersama jahiliah.

Firman Allah swt:
Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu Hanya semata-mata untuk Allah. 2 : 193

Manhaj Rasul adalah Perubahan

Manhaj Rasulullah saw. dalam menghadapi jahiliah adalah bersifat 'taghyir' (merubah). Tatkala orang-orang Quraisy menemuinya untuk berkompromi supaya Rasulullah menyembah tuhan mereka selama sebulan dan sebagai balasan mereka akan menyembah tuhan Muhammad pula selama sebulan yang lain, Al-Quran secara tegas menurunkan ayat:

Katakanlah: "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." 109 : 1 - 6.

Maka Karena itu Serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah sebagai mana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan Katakanlah: "Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah kembali (kita)". 42 : 15

Kedudukan Umat Islam Mewajibkan Perubahan

Perubahan wajib sebagai suatu kemestian yang "dharuri" dilakukan oleh para pemuda Islam bagi menghadapi cabaran zaman, bagi menghadapi gelombang materialisme dan atheisme yang mengancam kewujudan Islam.

Pandangan yang mendalam tentang kedudukan Umat Islam di setiap tempat mengukuhkan lagi keperluan mempersiapkan pemuda Islam dengan persiapan yang mencukupi syarat untuk menunaikan tugas perubahan Islam yang dicita-citakan, malah ia menjadi suatu tanggungjawab agama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudah-mudahkan.

Falsafah Perubahan Islam

Perubahan Islam yang dicita-citakan itu bukanlah satu falsafah yang berbelit-belit sebagaimana yang difahami oleh setengah orang. Ia merupakan falsafah perubahan dalam Islam. Secara ringkas falsafah ini terungkap dalam kata-kata Rubi'e bin 'Amir kepada Rustam, ketua angkatan bersenjata Parsi, apabila ditanya sebab kemaraan orang-orang Islam:

"Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam. Maka kami diutus dengan agama Allah kepada mahluk Nya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanahair mereka dan sesiapa yang enggan kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan."

Ciri-ciri Perubahan Islam

Perubahan Islam mempunyai ciri-ciri aqidah dan akhlak yang berbeza dari aliranaliran perubahan lain di dunia. Tidak pernah mereka yang telah menghirup dan mengecapi Islam, kemudian enggan dan menolaknya, kerana Islam mempunyai keunggulannya yang tersendiri dalam konsep pemikiran, 'manhaj' haraki dan 'uslub' perubahan. Antara ciri-cirinya:

A) Perubahan Menyeluruh

Perubahan Islam bukan setakat perubahan suatu sudut dari sudut-sudut kehidupan manusia, baik di segi sosial, ekonomi, politik atau aqidah, tetapi dari segi tabiatnya. Islam itu adalah merupakan manhaj yang menyeluruh (kulli dan syamil). Ini menjadikan 'perubahan Islam' itu unik dari segi manhaj dan uslub (method dan cara). Oleh kerana itu perubahan Islam tidak mungkin tercapai dengan cara rekaan sematamata, apalagi secara 'irtijali' yakni tanpa program, dan tidak juga dengan cara ketenteraan untuk mendapatkan kuasa secepat kilat. Sebaliknya, perubahan Islam itu mestilah dengan mempersiapkan faktor-faktor dan sendi-sendi yang membolehkan terbangunnya masyarakat di atas asas-asas itu.

B)Perubahan aqidah (ideological)

Aqidah Islamiah menentukan tabiat dan manhaj perubahan. Maka garis yang membataskan polisi perubahan itu berkisar dan berpusat kepada dua tonggak asasi:

1) Betul tujuan/matlamat yang ingin dicapainya; betul dalam method atau manhaj perubahannya. Inilah yang menjadikannya menolak nilai/kriteria perubahan secara parti, politik dan ketenteraan.
2) Betul wasilah dan terjamin tepatnya dari segi syara' serta bersesuaian dengan ruh Islam, sebagaimana terpeliharanya juga perubahan Islam itu dari melanggar kaedah-kaedah syara'.

Islam melihat perubahan itu bukan sahaja dari segi tujuan tetapi juga dari segi wasilah (jalan) bagi menegakkan perintah Allah dan melaksanakan hukumanNya. Apabila perubahan itu tidak mencapai tujuan, ianya boleh membawa akibat buruk kepada Islam itu sendiri.

C)Perubahan Berperikemanusiaan

Ertinya, ia tidak akan menuju kepada kebaikan dengan melalui jalan keburukan, dan menghirup kehinaan untuk sampai ke mercu kebahagiaan. Atau ia tidak membina bangunan di atas tengkorak dan darah. Walaupun Tacashoft, seorang pemimpin agung Komunis telah memberikan amaran untuk menghapuskan semua orang-orang Rusia yang melewati usia dua puluh lima tahun kerana mereka tidak mahu mewakili pemikiran Marx, namun Islam menunjukkan sifat-sifat rahmat dan berperikemanusiaan dalam banyak peristiwa dan kejadian.

Pada hari pembukaan Mekah, Abu Bakar As-Siddiq ra. telah menemui bapanya yang mana pada masa itu masih lagi seorang musyrik dan dibawanya kepada Rasulullah saw. Tatkala Rasulullah saw melihat, beliau lalu berkata kepada Abu Bakar, "Kenapa tidak orang tua ini sahaja yang di rumahnya dan aku sendiri datang menemuinya." Berkata Abu Bakar: "Wahai Rasulullah, dia lebih patut menemui engkau dari engkau menemuinya." Maka Rasulullah pun duduk di hadapannya dan menyapu ke atas dadanya lalu berkata, Islamlah anda, maka beliau pun memeluk agama Islam.

Di sini jelas bahawa perubahan Islam itu ada mempunyai ciri-ciri berperikemanusiaan; tabiatnya berakhlak dan akidah Islamiah ialah wasilah serta matlamatnya.

Monday, November 2, 2009

Sepenuh hati bersama HPA

Semalam genap seminggu kami ditaklimatkan tentang perniagaan Multi Level Marketing Syariah (MLMS) Herba Penawar Al-Wahida (HPA)di cawangan HPA Tanjong Malim. HPA merupakan satu-satunya MLM Syariah yang pertama di Malaysia dan juga pengurusannya 100% dikendalikan oleh orang Islam.

Permulaan HPA ini bertitik tolak daripada seorang yang minat dalam bidang perubatan melalui herba sejak dari kecil lagi. Lantas beliau mengembangkan minatnya dengan mewujudkan sebuah syarikat yang kini dikenali gahnya dengan HPA sempena nama perempuannya iaitu Wahida. Haji Ismail adalah pengasas bagi MLM Syariah ini dan sekarang merupakan Pengarah Urusan terbesar HPA.

Menarik mengenai HPA

Pada awalnya saya beranggapan HPA ini seperti MLM yang lain yang hanya menitikberatkan keuntungan semata-mata. Namun, pandangan tersebut meleset selepas diterangkan oleh dua orang penceramah jemputan dari Utara Malaysia iaitu Abang Faizal dan Ustaz Rohaizat.

HPA sangat mengambil kira produktivti dan kualiti sesuatu barang yang dihasilkan. Kebanyakan baha-bahan mentah pembuatan barang adalah keluaran sendiri tanpa bergantung dengan pihak lain. Mereka mengadakan ladang penternakan dan pertanian sendiri supaya dijamin halal untuk diproseskan menjadi produk.

Yang menarik lagi, didikan terhadap warga kerja HPA. Sebelum mula kerja, warga HPA diwajibkan berwudhuk terlebih dahulu. Setiap kali masuk waktu solat, mereka akan pastikan semua pekerja menunaikan solat fadhu secara berjamaah tanpa ada yang tertinggal. Wanita dalam keadaan haid, mereka diasingkan dari tempat pemprosesan ke tempat pentadbiran. Hal ini kerana HPA ingin menjaga dan memelihara kesucian serta keberkatan barang yang dikeluarkan.

Altenatif Umat Islam


Di Malaysia, umat Islam merupakan pengguna terbesar berbanding dengan agama-agama lain. Setiap hari masyarakat membeli barangan keperluan daripada pihak yang menjadi kebiasaan kita tuju tanpa meneliti status halal menurut sisi Islam. Setiap pembelian kita belum tentu lagi pulangannya akan kembali kepada kita semula.

Justeru, HPA memperkenalkan satu sistem yang bermanfaat kepada pengguna atau ahli itu sendiri. Sekiranya ahli menggunakan barang HPA, pulangan seperti bonus bulanan secara baucer atau tunai semestinya milik ahli. Secara tidak langsung, HPA menjadi salah satu punca mencari rezeki tambahan.

Halal dan Haram

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.” Surah al-Baqarah : 168

Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.”
Surah al-Baqarah : 172

Tujuan utama HPA adalah mengeluarkan barangan dan produk yang dijamin halal disisi Islam dan altenatif barang umat Islam. Kini, barangan keperluan yang dihasilkan daripada pelbagai pihak masih belum pasti kesahihan status halal sesuatu produk. Kami dimaklumkan terdapat kurang lebih 11 cop halal di Malaysia.

Segala keraguan terhadap barang yang hari-hari kita gunakan akan lesap dan lenyap dengan kita memilih barangan HPA. Selepas dari taklimat lepas, beberapa rakan dengan sepenuh hati menolak barangan yang sebelum ini mereka gunapakai lantas sepenuh hati memlilih produk HPA.

Dr. Asri Kena Tangkap

35 anggota JAIS serbu ceramah Dr Asri


SUASANA sepi di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.

Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu.

Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.

"Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.

Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.

Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.

Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.

Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..."

Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri.

"Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.


http://www.mstar.com.my/berita

Sunday, November 1, 2009

Pemuda Agen Pengubah siri 2



Kenapa Perlunya Persiapan Pemuda Islam?

Ada beberapa gambaran yang berbeza di sekitar tugas seorang pemuda Islam dan matlamat dari persiapan mereka itu.


Apakah matlamat utama dari persediaan pemuda Islam ini?


Adakah matlamatnya sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu dan dorongan-dorongan fitnah, atau setakat supaya dia menunaikan fardhu-fardhu wajib yang ditaklif oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Allah?


Adakah itu sudah mencukupi?


Atau adakah matlamatnya untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan Islam yang cukup yang membolehkan mereka menulis dan bercakap sahaja?


Dan adakah matlamat persiapan seorang pemuda Islam bagi untuk menjalankan amal-amal kebajikan, memberikan makan kepada orang miskin, merawat orang sakit dan bersimpati dengan mereka yang menderita sahaja?


Atau adakah sekadar mempersiapkan pemuda Islam supaya boleh menjalankan dakwah Islamiah sekadar melepaskan batuk di tangga?


Atau menjadikan mereka itu berada dalam suatu suasana organisasi pemuda Islam dan cukup setakat itu tanpa mengira samada dia menjadi da'i atau pembimbing semata-mata?


Pada hakikatnya kita tidak bebas untuk memilih matlamat-matlamat yang di gariskan itu, pada masa dunia Islam berada di bawah pemerintahan sistem 'Taghut', dan Islam berada jauh dari memegang teraju pimpinan.


Sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya 'Qawamah' (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan tugas para pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam. Dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam.


Amal seperti itu dan apa yang diperlukan olehnya, apa yang berhubung dengannya dan apa yang bercabang darinya atau apa yang dituntut olehnya dan juga tujuan terbesar dari persiapan seorang pemuda Islam tadi, perkara-perkara ini hendaklah dianggap penting oleh para pemuda Islam. Ini adalah wajib dari segi syara' dan ianya itu tidak akan gugur dari menjadi tanggungjawab mereka sehinggalah Kalimah Allah lebih tinggi, mengatasi kalimah-kalimah orang kafir.


Tujuan 'manhaj' (method) Islam ialah untuk mengembalikan 'ubudiyah' manusia kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka. Dalam bidang akhlak dan urusan hidup, dalam bidang undang-undang dan pemikiran mereka. Ini bererti meruntuhkan asas-asas dan pusat-pusat yang menjadi tempat tegak dan berdirinya masyarakat jahiliah dan tamaddun materialisme. Di tempatnya pula ditanam asas-asas supaya tertegaknya sistem Islam.


Ini bermakna bahwa tugas dan peranan pemuda Islam ialah melakukan "Perubahan" dan bukannya menempel atau memperbaiki, dan inilah yang sewajibnya berlaku. Tugas ini pada hakikatnya adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut dan tugas selain dari ini tidak mempunyai nilai. Malah tugas yang lain ini akan membawa bencana yang akan menangguhkan kemahuan para pemuda kepada perubahan, malah akan membawa kepada perjalanan seiring dengan realiti jahiliah yang ada dan cuba hidup bersamanya.