Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfirti


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda serta para sahabat yang mendokong perjuangan baginda Rasulullah s.a.w..

Pertamanya, marilah kita bersama-sama merafa’kan setinggi penghargaan kita ke Hadrat Allah s.w.t. kerana kita masih diberi ruang dan peluang berada di dalam bulan yang mulia, Bulan Ramadhan Karim. Sepanjang bulan Ramadhan, kita telah melaksanakan ibadah puasa yang difardhukan ke atas umat Islam secara aman dan sejahtera, tanpa ada gangguan musuh Islam seperti di Negara lain.

Di samping itu, kita juga telah memperbanyakkan amal ibadah sunat yang sangat dituntut di bulan mulia ini seperti solat Tarawih, bacaan dan tadarus al-Quran, doa, zikir dan beriktikaf. Semoga Allah menerima amalan yang kita persembahkan di hadapan-Nya walaupun sedikit.

Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Beruntunglah bagi orang yang memperhebatkan amalan di bulan Ramadhan dan mendapat malam al-Qadr dan sebaliknya. Belum pasti lagi pada tahun hadapan kita akan dapat bertemu dengan tetamu istimewa iaitu Ramadhan Karim. Kita doakan agar Allah memberi kesempatan kepada kita bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Amalan solat berjamaah dan bacaan al-Quran jangan terhenti sampai di penghujung Ramadhan sahaja. Amalan ini perlu diteruskan khusus bagi pejuang agama Allah s.w.t. sehingga ajal mendatang.

Kini Syawal menjelma dan semua umat Islam kembali kepada fitrah. Fitrah yang pertama, umat Islam boleh semula makan dan minum pada waktu siang. Fitrah kedua, umat Islam sudah pun bersih dari dosa setelah sebulan dalam Madrasah Ramadhan bagi mereka yang meminta pengampunan kepada Allah s.w.t..

Bulan Syawal juga kita digalakkan supaya berpuasa enam hari seperti mana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun penuh.” Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah.

Bagi orang-orang, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Pastikan kita melaksanakan amalan sunnah ini.

Bulan Syawal juga merupakan bulan pejuangan. Lafaz takbir yang dialunkan menjelang hari raya adalah menceritakan peristiwa perang Ahzab atau Khandak. Betapa Rasulullah s.a.w. sangat kesusahan mempertahankan Islam di Madinah. Sehinggakan baginda mengikat perutnya yang mulia dengan batu kerana tiada makanan untuk dijamah. Marilah kita bersama-sama menghayati peristiwa ini dan mempertahankan Islam dari dinodai.

Saya dan keluarga mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua umat Islam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Kullu a’min wa antum fi khair

Salam Hormat,

Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar
Pengerusi
Jawatankuasa Pelajar
Rakan Penggerak Ad-Din
Universiti Pendidikan Sultan Idris

No comments:

Post a Comment