Friday, September 17, 2010

Jangan Kahwin Lagi..... - Pesanan Tuan Guru

Hari raya ke 4 lepas, saya dan sahabat berpeluang berjumpa dengan Tuan Guru Hj Yusuf b. Husin yang menetap di Pendang, Kedah. Pertemuan tersebut tidak dirancang. Saya hanya ingin berjumpa dengan senior sekolah, Habib Adnan yang membawa sahabat-sahabatnya ke sana untuk ziarah sebelum mereka pulang ke Yaman. Tetapi taqdir Allah s.w.t. menentukan segalanya. Alhamdulillah, kami dapat mendengar nasihat yang paling berharga daripada seorang ulama’.

Antara perkara yang Tuan Guru beri penekanan ialah mendalami ilmu sebanyak yang boleh. Ilmu sangat penting dalam kehidupan. Tanpa ilmu katanya, manusia akan menjadi hilang punca dan tiada arah tujuan hidup yang sebenar. Masa muda perlu diisi dengan program keilmuan. Usia muda paling sesuai menuntut ilmu kerana mempunyai banyak tenaga dan semangat masih berkobar-kobar.

Pesanan beliau lagi, usia muda ini jangan terlalu fikirkan hendak berkahwin sahaja. Perkara tersebut akan menjadi mudah apabila kita mendalami ilmu khususnya ilmu agama dengan sebanyak mungkin dan semampu kita. Dengan ilmu tersebut, kita boleh beramal untuk diri sendiri dan mengajar masyarakat setempat. Belajar ilmu sehingga diri kita mempunyai nilai harga yang tinggi dalam masyarakat.

Bila sudah tibanya, barulah kita merancang untuk berkahwin.


Ilmu di dada perlu disampaikan kepada orang lain dan ilmu itu member kesan kepada diri mereka. Pesanan guru Tuan Guru Hj Yusuf kepadanya, “Cop, mu kena jadi tanah lembik (tanah liat), jangan jadi batu.” Maksudnya, apabila tanah liat di baling ke dinding, tanah itu akan melekat dan akan turun perlahan-lahan ke bawah. Melekatnya itu meninggalkan kesan di dinding. Batu pula bila di baling ke dinding, maka batu tersebut akan melantun semula.

Maksud yang tersirat di sebaliknya, bila kita sampaikan ilmu, berilmu itu memberi kesan dan meninggalkan bekas kepada insan. Jangan jadi orang berilmu tapi sombong. Akibatnya, ia akan merugikan diri sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment