Tuesday, June 22, 2010

Kaji Sistem Peperiksaan


ARKIB : 09/09/2004

Oleh WAHID HASHIM
(WARTAWAN UTUSAN)

SEJAK negara mencapai kemerdekaan pada 1957, sistem pendidikan kebangsaan mengalami bermacam-macam perubahan. Namun, kritik sosial melihat perubahan itu menjurus kepada penguncupan minda berbanding pemikiran yang lebih lateral.

Pendidikan kita gagal kerana tidak kontemporari. Kerana tidak mahu berubah, sistem kita dicap tidak liberal.

Bukan itu sahaja, kalau menyemak balik fail-fail lama, maka kita dapati kritikan juga menyentuh kelemahan sistem, kandungan dan format.

Malah ada pandangan yang menyebut sistem pendidikan merupakan virus yang merosakkan keseluruhan sistem di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Tahap pencapaian bahasa Inggeris pula sangat lemah. Perumpamaan yang diberikan oleh seorang ketua jabatan bahasa Inggeris di sebuah IPTA kepada Utusan Malaysia baru-baru ini ialah kalau sekarang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 mendapat A2, maka tarafnya kepada calon SPM 1985 mungkin hanya C4.

Kritik itu bukan cerminan emotif media massa, tetapi ia datang dari segenap hierarki masyarakat, daripada orang biasa sehingga kepada anak raja, daripada seorang profesor sehingga penarik beca.

Apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengkritik corak peperiksaan kita gagal melahirkan keaslian pemikiran, kekuatan analisis, daya imaginatif serta tidak inovatif, maka sistem pendidikan kita seolah-olah telah runtuh.

Walau yang disinggung oleh Raja Nazrin hanya aspek teknikal format peperiksaan, namun ia memberi kesan kepada keseluruhan sistem.

Buah fikiran anak raja yang memegang ijazah kedoktoran falsafah itu mempunyai wibawa dan kelayakan. Kita boleh berpegang dan berhujah atas landasan hujah beliau.

Secara yang mengkhusus, beliau menujukan kritiknya kepada corak format peperiksaan.
Maka kalau itu yang dikritiknya, yang paling layak terasa pedas paling kepalang ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Format peperiksaan adalah wacana teknikal. Di dalamnya terkandung aspek pedagogi, psikologi dan teknologi.

Lebih dalam lagi, ia perlu distruktur supaya sesuai dengan konsep soalan beraras, mematuhi wajaran konstruk, cakupan konteks, masa menjawab, jenis soalan, serta pelbagai aspek teknikal lain.

Pada masa yang sama, pihak yang bertanggungjawab juga cuba memperkenalkan soalan yang berkonsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran berfikir, Strategi Berfikir (KBSB).

Pelbagai teori pendidikan dari Barat dan tempatan diterapkan ketika menggubal peperiksaan.
Bagi yang mengikuti aspek rencam ini, maka sebenarnya banyak perubahan yang telah berlaku dalam penggubalan format peperiksaan dan pentaksiran dalam sistem pendidikan ini.

Lawan kepada objektiviti ialah kreativiti dan terbuka.

Satu sistem dikatakan bercorak objektif apabila semua pelajar perlu menjawab mengikut satu skema sahaja.

Sebagai contoh, kalau pelajar ditanya bagaimana hendak membuka tudung botol gabus, maka daripada perspektif di Malaysia, jawapannya ialah merendam dalam air panas. Jawapan lain tidak boleh diterima. Pelajar yang menjawab, ia boleh dibuka dengan pembuka tutup botol, juga salah, sedangkan ia sebenarnya boleh diterima. Bentuk tertutup begini dipanggil respons terhad.
Jawapan mengikut skema tidak mengundang kreativiti.

Bagi yang berlatarbelakangkan pendidikan di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat (AS), corak pendidikan di Malaysia memang aneh. Di sana, peperiksaan adalah `berasas sekolah', iaitu tiada peperiksaan bersifat kebangsaan. Setiap daerah ada sistemnya sendiri. Jadi, kebanyakan soalan bersifat respons terbuka kerana guru tidak perlu menyemak kertas yang banyak. Guru sanggup menerima pelbagai jawapan mengikut kreativiti pelajar.

Di AS, tiada istilah `panduan menjawab peperiksaan' akibat respons terbuka yang mencambahkan kreativiti ini.

Guru sekolah yang memeriksa kertas peperiksaan pelajar.

Di Malaysia, yang mempunyai sejarah dalam hubungan kaumnya yang tersendiri, maka Dasar Pendidikan Negara (DPN) digubal untuk menyatupadukan kaum dengan acuan satu kurikulum.
Penyeragaman menimbulkan banyak kekangan teknikal seperti memeriksa terlalu banyak kertas setiap kali peperiksaan kebangsaan. Lebih parah lagi kalau soalan respons terbuka ditanya kepada pelajar. Bagaimana kalau satu soalan respons terbuka mempunyai 10,000 jawapan yang berbeza?

Oleh kerana keseragaman kurikulum di seluruh negara jugalah, maka soalan peperiksaan perlu berdasarkan konstruk sukatan pelajaran.

Kalau hendak melaksanakan corak kreativiti, guru perlu dilatih secukupnya, dan pemahaman kognitif mereka perlu dicanai sematang-matangnya.

Guru sering dikatakan gagal melaksanakan sesuatu pendekatan.

Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bertema Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan, pada halaman 83, perkara 3.75 menyebut:
``Kelemahan dalam pelaksanaan dan penyampaian kurikulum menghalang pendidikan menengah daripada memenuhi keperluan pendidikan kemahiran seperti pemerolehan dan penguasaan kemahiran generik aras tinggi, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan kemahiran menguruskan sumber.''

Penyampaian di sini merujuk kepada cara guru dan pegawai di peringkat akar umbi melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Kita juga khuatir, guru bermentaliti objektif hasil daripada sistem pendidikan objektif ini akan `kembali ke sekolah' membawa sekali pemahaman kognitif untuk disebarkan di sekolah.
Indikator terhadap corak objektif yang paling ketara ialah semua orang mahu mengejar kejayaan.

Kejayaan pula ditakrif daripada gred yang diperoleh.

Baru-baru ini, ketika berbual dengan seorang guru di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, beliau menggambarkan tekanan kepada indikator gred untuk calon SPM seperti berikut:
``Dulu orang cuma bertanya dapat gred berapa, sebelum nak tahu berapa agregat. Apabila SPM Pensijilan Terbuka diperkenalkan pada 2000, orang tanya berapa A, dan sekarang orang tanya berapa 7A, 8A atau 10A.''

Tekanan terhadap `berapa A' itu benar-benar memberi implikasi yang menyeluruh kepada kehidupan generasi muda di negara ini.

Yang merasakan dirinya gagal bersaing untuk mendapat berapa A ini akan memilih jalan hidupnya sendiri.

Kita perlu menangani sesuatu isu secara yang mengkhusus, tetapi sesuai dengan keseluruhan organisasi.

Sekiranya isu yang diperkatakan ialah peperiksaan, maka segala jenis penilaian di sekolah perlu dirombak.

Kita perlu bersedia menerima perubahan, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perpaduan kaum dan bernegara di Malaysia, seperti mana yang kita kecapi sepanjang 47 tahun ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0909&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment