Monday, June 21, 2010

Hari Bapa...


Semalam merupakan hari istimewa buat kaum lelaki yang bergelar bapa. Hari Bapa di Malaysia disambut pada hari Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun. Suami atau bapa adalah ketua dalam bahtera rumah tangga. Selain daripada tanggungjawab mereka memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, mereka jua mempunyai tanggungjwab yang amat berat iaitu memastikan ahli keluarga tidak berada dilandasan salah yang menyebabkan jatuhnya ke dalam api neraka.

ياأيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا

Alhamdulillah, saya mempunyai bapa yang sangat prihatin dan penyayang. Beliau memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama yang cukup. Baginya, pendidikan agama amat penting kerana ia akan mengajar erti kehidupan sebenar sebagai khalifah Allah di dunia. Walaupun bapa tidak mampu mengajar kami akan agama, tetapi ada pilihan lain lagi untuk memahamkan kami tentang Islam iaitu dengan menghantar ke sekolah agama.

Harapannya, bapa hendak melihat kami menjadi hamba Allah yang bertaqwa dengan mentaati perintah dan laranganNya. Untuk digelar sebagai anak soleh dan solehah, kefahaman agama begitu penting. Dengan agama, akal dapat dipimpin melalui wahyu Ilahi dan nafsu dapat dikawal. Maka akan lahirlah insan yang soleh dan solehah.

Pendidikan material seperti wang tidak akan membina jadi diri seorang anak. Malah secara tidak langsung bapa mendidik anak cintakan kebendaan. Akhirnya anak itu akan merasakan kekurangan sekiranya dia tidak memperoleh kewangan, bukannya merasakan kekurangan bila bapa tidak berada disampingnya. Anak-anak lebih menantikan pemberian daripada menantikan pemberi.

Kasih seorang bapa tidak seperti kasih seorang ibu. Belaian dan kasih ibu ada sentuhan tersendiri. Begitu juga dengan bapa. Kasih sayang bapa ditunjukkan melalui tindakannya seperti pergi menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya, pergi menjemput anak di stesyen bas seusai tiba dari perantauan, bekerja membanting tulang mencari nafkah dan lain-lain. Bapa sukar untuk ungkapkan lafaz kasih dan sayang mereka terhadap anak-anak. Namun bagi bapa, sudah memadai dengan tindakannya itu. Tinggal lagi, anak-anak sahaja yang perlu menilai kasih sayang seorang bapa.

Bapa sanggup berhidup susah demi kebahagian anak-anaknya. Mereka tidak mahu kesusahan yang mereka hadapi suatu ketika dahulu berulang kembali terhadap anak-anaknya.

Selamat Hari Bapa buat ayahku yang tercinta, Abu Mukhtar bin Mustafa..

No comments:

Post a Comment