Tuesday, December 1, 2009

Aku sudah berkorban?

Alhamdulillah, Di Malaysia kita dapat menyambut perayaan Aidil Adha dengan suasana yang selesa dan aman berbanding negara-negara lain. Walaupun ada juga beberapa negeri yang terpaksa berhari raya dalam keadaan basah dengan banjir, namun terdapat negara seaqidah terpaksa beraya dalam keadaan basah dengan darah, bertempur dengan musuh agama dan negara.

Apabila saya membaca blog rakan-rakan yang menceritakan erti pengorbanan sempena hari Raya Haji 1430h, ia mengingatkan kembali kisah pengorbanan yang begitu besar dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah s.w.t supaya menyembelihkan anak kesayangan baginda, Nabi Ismail a.s.. Setiap tahun diperingatkan melalui forum, ceramah dan juga alunan nasyid (jika ada) tentang kisah ini. Sesiapa sahaja diminta bercakap soal demikian, pastinya secara pantas mereka boleh memutarkan semula kisah itu.

Antara perkara sunat yang dituntut dilaksanakan sewaktu hari Raya Haji ialah dengan mengadakan ibadah korban seperti menyembelih lembu, unta, kambing atau binatang ternakan yang dibolehkan oleh Islam. Binatang ternakan seperti lembu dijadikan sebagai suatu ibadah kepada pelakunya agar ianya memperoleh ganjaran pahala menerusi ibadah korban. Binatang ini sanggup berkorban untuk makhluk bergelar manusia supaya manusia mentaati perintah Allah s.w.t lantas melayakkannya berada dalam kalangan orang beriman.

Pun begitu, pakaian seperti baju, seluar dan kain batik yang setiap hari kita pakai juga berkorban untuk manusia. Ye lah, pakaian yang cukup syarat serta menepati syariat membolehkan kita pakai dengan penuh keyakinan. Pakaian juga menambahkan keanggunan seorang wanita dan keunggulan seorang lelaki berbanding insan yang tidak mengenakan apa-apa pakaian ataupun pakaian selekeh. Ianya menutup segala keaiban yang ada pada tubuh kita, pelindung dari kepanasan cahaya matahari dan kesejukan dingin angin.

Selain itu, manusia beriman perlu menunaikan segala perintah yang telah ditetapkan seperti solat. Kita perlukan tenaga pada setiap hari demi memastikan ibadah yang dikerjakan penuh kesempurnaan. Tenaga akan berhasil dari makanan yang sihat. Sayur-sayuran yang segar dan daging yang halal dimakan adalah perkara yang menambahkan tenaga kerja manusia. Sayuran dan daging juga turut berkorban untuk manusia menjadikan hamba Allah s.w.t yang bertaqwa.

Jika direnungkan kembali, perkara yang berada disekitar kita, telah banyak berkorban kepada manusia takkala manusia beriman atau sebaliknya.

Motor yang dimiliki sering ditunggangi ke tempat kita hajati.

Laptop yang dimiliki membolehkan kita menyiapkan tugasan akademik yang diberi.

Kereta yang dimiliki sering dipandu ke tempat mencari rezeki.

Rumah yang dimiliki memberi perlindungan kesejahteraan kepada anak dan isteri.

Bagaimana perngorbanan yang dilakukan oleh makhluk yang bergelar manusia? Apakah bentuk pengorbanannya terhadap agama? Sekurang-kurangnya kita sebagai khalifah sanggup berkorban demi Islam yang tercinta, melihat Islam dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tenaga yang ada pada tubuh, kesihatan yang diberikan serta akal cerdas yang dikurniakan, semuanya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk Islam.

1 comment:

  1. Biasanya beginilah sifat makhluk bergelar manusia. Bercakap tentang berkorban memang mudah. Tapi nak berkorban itu payah.

    Hatinya perlu tulus dan ikhlas. Labih baik lagi jika disertai hanya semata-mata keranaNya.

    Bila cinta meresap di dada. Hati mudah untuk berkorban kepada yang dicinta.

    Jadi cinta apa yang perlu kita pasakkan? Itulah dia cinta hakiki. Cinta kepada Allah Rabbul Izzati.

    Bila cintakanNya. Segala cinta hanyalah keranaNya. Bila sudah datang cinta, sanggup berkorban apa jua. Jiwa dan harta hanya untuk agama.

    ~Mencari Erti Cinta Hakiki~

    ReplyDelete