Friday, November 13, 2009

Responsibiliti terhadap masa depan Islam


Islam yang kita kecapi pada hari ini merupakan hasil usaha orang terdahulu mengembang dan memperjuangkan Islam di serata dunia. Semangat yang berkobar-kobar ingin melihat kalimah tauhid di hati-hati insan ini ditunjukkan melalui sejarah Islam. Mereka sangat memahami tuntutan Islam kerana Islam bukannya hak individu semata-mata. Islam perlu disebarkan secara meluaskan sehingga al-Quran dan as-Sunnah dijadikan perlembagaan tertinggi dan rujukan setiap perkara.

Umat Islam khususnya di Malaysia berada dalam keadaan harmonis tanpa ada penghalang dari mana-mana pihak. Umat Islam boleh mendirikan solat di masjid, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat apabila tiba masanya dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan. Ibadah-ibadah ini dilakukan dengan penuh bertanggungjawab. Tiada alasan untuk mereka tinggalkan malah ingin menambah amalan-amalan sunat. Kelak mereka akan memperoleh ganjaran pahala sebagai tiket bagi melayakkan ke syurga.

Generasi yang memimpin Negara dan hidup bermasyarakat kini adalah hasil didikan pada tahun 50 an hingga 70 an. Sewaktu itu, pendidikan agama bukan hanya berlengar disekolah atau pondok-pondok sahaja, bahkan ianya turut berlangsung dirumah. Ibu bapa amat prihatin terhadap perkembangan anak-anak. Mereka mengharapkan anak-anak dikurniakan itu terdidik dengan didikan agama.

“Nak, jangan buat benda ni, nanti Tuhan marah…”, kita terus berhenti tanpa membantah.

“Malek, tutup tv tu, hormat waktu maghrib ni….”, kita lakukan tanpa tunjuk rasa tidak puas hati.

“Bob, pi ikut ayah tu, solat berjamaah kat masjid….”, kita hanya menurut perintah.

Ini antara pendidikan agama yang berlaku secara tidak langsung di dalam rumah. Impaknya kita akan mengamalkan apa yang diajar sehingga dewasa. Kita tidak akan meninggalkan amalan tersebut melainkan Jibrail datang mencabut nyawa.

Persoalan timbul di fikiran. Bagaimana dengan Islam akan datang? Adakah Islam dapat dirasai seperti zaman kita? Bagaimana generasi anak-anak kita? Adakah Islam akan sampai kepada mereka? Beberapa soalan yang memerlukan jawapan dan tindakan. Orang terdahulu bekerja dan menggerakkan Islam dengan sedaya upaya. Mereka sanggup bergadai nyawa demi Islam. Mereka tidak mengutamakan material sebagai pulangan hasil kerjanya. Apa yang dinginkan hanya mahu melihat Islam terus dianuti dan diamalkan masyarakat.

Bagaimana pula dengan kita? Apakah kita sudah bekerja ke arah demikian atau hanya berpeluk tubuh? Kehidupan yang selesa dan penuh dengan kenikmatan, adakah sudah menjamin sirna Islam akan datang? Pastinya kita perlu bekerja. Golongan yang hanya memikirkan Islam adalah ekstremis, individualistik dan fundemantel hendaklah kita baiki dengan menerangkan Islam yang sebenar. Pandangan-pandangan seperti Islam adalah ibadah ritual semata-mata, Islam hanya di masjid dan surau serta Islam pada dua hari raya sahaja, ia akan terhapus andainya kita bekerja. Pekerjaan ini sudah semestinya tidak mampu untuk kita lakukan seorang diri. Kerja berat ini perlu dipikul bersama.

Seharusnya persiapan bermula pada usia muda. Jangan sia-sia muda dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah malah mudarat yang diterima seperti ber’couple’, budaya melepak, merokok dan syok bermain game. Sekiranya kita berkata, ‘Aku belum bersedia’, ‘Aku tak layak’ atau apa-apa alasan yang diberikan, apakah kayu ukur untuk kita kata sudah bersedia dan melayakkan diri, bersama terjun dalam medan kerja dakwah? Ayuh bertindak.

No comments:

Post a Comment