Sunday, November 8, 2009

Kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama

Setiap hari kita akan bertemu dengan pelbagai lapisan manusia terutama ketika kita berada di kawasan Bandar. Di sana juga, terdapat berbagai ragam dan jenis tindakan manusia yang berpeluang untuk kita lihat dengan dua bebola mata seperti sibuk dengan kerja, pantas melangkah kaki untuk mendapatkan LRT atau teksi, menjual air ditepi kaki lima, berjalan sambil tangan membalas SMS dan berlepak di pasaraya. Masing-masing sibuk dengan cara tersendiri tanpa perlu dikawal dan diatur oleh orang lain.

Apa kurangnya di dunia mahasiswa yang penuh dengan budaya akademik dan keintelektualan yang juga tidak terlepas dari pelbagai ragam perlakuan. Setiap hari mereka datang ke kuliah yang dijadualkan, kemudian balik ke kolej dengan menggalas tugasan ilmiah yang diberi pensyarah. Tiba ‘time’ makan, ajak kawan keluar makan bersama di mana-mana kedai atau café yang selalu dikunjung. Masa yang diperuntuk bagi menyiapkan tugasan lazimnya selama lapan ke sepuluh minggu kuliah. Masih awal lagi katanya, boleh diisikan dengan perkara yang lain. ‘Test power’ dengan bermain game bola, berYM dengan teman istimewa, bersembang berdua-duaan lewat malam di café dan pelbagai aktiviti kreatif yang dicipta sendiri.

Bila tiba waktu solat, mereka tidak terlintas di fikiran mahu berhenti dari segala kegiatan dunia dan bergegas menyahut seruan azan lantas ke surau untuk menunaikan solat berjamaah. Bila ada forum atau ceramah yang dianjurkan, diri tidak berganjak dari berborak dengan rakan sebilik untuk ke surau atau foyer kolej, mendengar nasihat dan pengajaran dari al-Quran dan as-Sunnah. Pun begitu, tiada bezanya ketika berada di bilik. Di luar dia mampu menjaga batasan aurat yang digariskan syariat. Namun pulang ke bilik, dia hanya mengenakan pakaian mangikut keselesaan dirinya tanpa menghirau tuntutan syariat walaupun dia lebih mengtahuinya.

Orang beragama berbeza dengan orang awam

Semua kelakuan tadi sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman bagi seseorang. Dia melakukan dengan tanpa ada rasa segan silu dan bersalah pada agama malahan merasa dianya betul. Orang jenis ini adalah kebanyakan orang yang berada disekeliling kita sama di kampung halaman, bandar mahupun komuniti kampus. Tatacara kehidupannya telah diatur oleh faktor semasa yang sering mendidik sehingga tiada noktah terakhir seperti televisyen. Mereka menganggap itulah cara hidup yang terbaik seperti yang ditontonkan media elektronik, bagi mereka ambil tauladan dan jadikan sebati dalam hidupnya.

Berbeza dengan orang berpengtahuan agama. Kalau mereka tidak muncul di surau setelah habis azan berkumandang, orang lain akan memandang serong terhadapnya kerana tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sekiranya kedengaran kuliah dan ceramah rancak berlangsung tetapi jasadnya belum sampai di tempat tersebut, orang lain akan memandang sinis kerana sepatutnya itulah tempat untuk dia menambah ilmu kemasyaraktan berbanding ilmu diperolehi dalam kelas.

Namun itulah yang seharusnya dilakukan oleh orang yang ber’title’kan agama. Walaupun perkara yang ditinggal itu tidak berdosa malah perkara sunat dan harus yang dituntut, tetapi hal demikian sudah sejiwa dengan peribadi orang beragama. Bukannya mereka tidak tahu dalil dan nas yang menuntut perkara kebajikan itu dilaksanakan. Kadang-kadang beralasan malas dan sibuk dengan tugasan yang menjadikan mereka jauh beramal dengan ilmu yang terpahat didada.

Inilah yang dikatakan dengan kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama. Orang beragama yang melakukan perkara yang sama dengan orang awam adalah berbeza seperti tidak turun menunaikan solat fadhu secara berjamaah. Orang awam yang meninggalkannya tidak timbul pertikaian, tetapi orang beragama akan dipersoalkan tentang kredibiliti sebagai penuntut agama Islam. Jangan mengambil enteng tentang hal ini. Ia akan memberi kesan buruk kepada orang lain yang sefikrah dengannya.

حسنات الأبرار وسيئات المقربين
Kebaikan orang awam adalah keburukan orang beragama.

Kata-kata ini bukanlah hadith atau athar para sahabat. Tetapi ianya merupakan suatu istilah kepada para Rasul dengan umatnya. Para Rasul adalah orang yang paling dengan dekat dengan Allah. Setiap waktu dan ketika, mereka sering mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Berbanding dengan kita sebagai umatnya. Ada di antara kita kembali ingat kebesaran Allah semasa mendirikan solat atau di musibah yang diduga.

Saya mengambil konsep situasi kita pada masa ini. Di kampus contohnya, orang yang menceburi dalam bidang agama dan golongan memperjuang agama dikatakan orang yang taqarrub dengan Allah. Mereka sentiasa diingati oleh pensyarah dan kawan-kawan akan ayat-ayat Allah dan perkara Sunnah yang ditinggalkan. Bagi mahasiswa lain, mereka tidak berpeluang dengan nikmat ini dan hanya menumpukan bidang yang mereka pilih.

1 comment: