Wednesday, April 13, 2011

Siapa yang paling mulia


Sekolah merupakan satu institusi pendidikan yang mendidik para pelajar tentang erti kehidupan dan menentukan wawasan hidup. Peranan guru amat besar dalam usaha mendidik para pelajar agar mereka menjadi manusia yang berguna. Dari sudut sosial dan kemasyakatan, pastinya golongan guru dan para pelajar lebih mendominasi komuniti dalam sesebuah sekolah. Namun tidak dinafikan peranan pembantu tadbir, tukang masak di kantin, tukang kebun dan pak guard yang juga membantu meringankan urusan sepanjang persekolahan berlangsung.

Jika dilihat siapa yang paling mulia yang berada di sekolah, pastinya kita akan mengatakan guru. Tugas guru adalah mulia dan memang tidak dinafikan hal tersebut. Malah guru agama yang digelar sebagai ustaz dan ustazah, pastinya mempunyai amanah yang besar untuk menitikkan ajaran agama dalam diri pelajar. Namun, sekiranya guru agama itu mengajar kerana mahu mendapatkan gaji, hanya mengajar semata-mata di dalam kelas tanpa menghiraukan hal keadaan luar seperti pelajar tidak solat dan menutup aurat, adakah kita boleh katakan kepada mereka orang yang paling mulia?

Jika bukan guru agama, mungkin guru bukan agama yang paling mulia. Mereka mengajar sehingga murid lulus cemerlang dalam akademik dan akhirnya murid itu beroleh kerjaya yang dicitakan selama ini. Namun begitu, setiap kali mengajar, mereka kurang atau tiada menyelitkan ayat-ayat Allah dan kata-kata Rasulullah di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Adakah mereka boleh kita katakan orang yang paling mulia?

Jika bukan guru bukan agama, mungkin pihak pentadbiran yang diketuai oleh pengetua yang mulia. Pengetua adalah hireaki tertinggi dalam sekolah. Pengetua mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menentu hala tuju sekolah, bagaimana beliau ingin mencorakkan sekolah agar lebih maju jaya. Namun, sekiranya pengetua hanya mementingkan untuk memenuhi perut sendiri dengan memberi projek kepada kroni dan beliau dapat komisen, adakah pengetua boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika bukan pengetua, mungkin pembantu pentabiran yang mulia. Setiap hari mereka mengurus hal pentabdiran seperti, mengurus surat menyurat, borang cuti guru dan slip gaji. Namun, sekiranya mereka hanya berlakon rajin di depan bos sahaja dan di belakang malas dan curi tulang, adakah golongan ini boleh kita katakana orang yang paling mulia?

Jika bukan pembantu tadbir, mungkin mak cik kantin dan mak cik cleaner adalah orang yang mulia. Setiap hari mereka menyediakan makanan dan minuman kepada warga sekolah. Hal ini memudahkan warga sekolah dalam aktiviti P&P dan sebagainya, agar tidak perlu keluar mendapatkan makanan. Tukang kebun dan mak cik cleaner juga besar peranannya iaitu menjaga kebersihan sekolah supaya kelihatan lebih ceria dan menyamankan. Namun, sekiranya mak cik kantin mengenakan makanan dengan harga yang tinggi dan tidak mementingkan kebersihan dalam penyediaan makanan dan mak cik cleaner hanya membersihkan kawasan yang mudah baginya untuk dilakukan dan tidak memenatkannya, adakah golongan ini boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika mungkin mak cik kantin dan mak cik cleaner, mungkin pak guard orang yang mulia. Pak guard diamanahkan sebagai penjaga keselamatan sekolah. Pak guard akan pastikan tiada orang luar boleh masuk ke sekolah tanpa ada urusan. Namun, sekiranya pak guard hanya berada di pondoknya sepanjang masa tanpa membuat rondaan di kawasan sekolah mengikut jadual yang ditetapkan dan bersembang atau menonton televisyen untuk memenuhi waktu kerjanya, adakah pak guarg ini boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika bukan pak guard, mungkin pelajar orang yang mulia. Pelajar adalah komuniti teramai di sekolah. Mereka datang ke sekolah untuk belajar mengenal erti kehidupan. Pastinya golongan ini yang mulia kerana setiap hari mereka mendapat input baru dengan pencambahan minda yang digarapkan oleh guru. Namun, kedatangan mereka ke sekolah hanyalah dengan paksarela oleh ibu bapa dan tidak menghormati guru di dalam kelas seperti buat bising dalam kelas, tidur dan menyampuk semasa P&P, adakah pelajar ini dikatakan mulia?

Orang bertaqwa adalah orang yang paling mulia

Oleh yang demikian, siapakah yang paling mulia? Allah berfirman menerusi surah al-Hujurat: 13,

“Sungguh, orang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa.”

Orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa di antara kita. Tidak kira sama ada pengetua, guru agama, guru bukan agama, pihak pentadbiran, mak cik kantin, mak cik cleaner, pak guard mahupun para pelajar, sekiranya mereka bertaqwa kepada Allah, maka mereka layak mendapat gelaran orang yang paling mulia.

Antara sifat-sifat orang bertaqwa adalah beramanah menjalankan tugas, jujur dalam semua perkara dan tidak melakukan sifat mazmumah. Manusia tidak dapat mengukur ketaqwaan melainkan hanya dari pengkhabaran wahyu yang menyatakan ini baik dan sebaliknya.

Kesimpulannya.

1. Kita hendaklah menjadi orang bertaqwa.
2. Kita hendaklah saling hormat menghormati dan saling sayang menyayangi antara sama satu sama lain.

Selamat berpraktikum...

1 comment:

  1. "Bahawasanya aku diutuskan sebagai seorang pendidik"-Hadis Nabi S.A.W

    ReplyDelete