Monday, June 20, 2011

Pengalaman Seorang Guru Praktikal vol 1



Guru merupakan satu kerjaya yang mulia, mendidik anak bangsa bukan sekadar mengenal erti baca tulis , bahkan mengenal erti kehidupan sebagai seorang hamba Allah swt. Kerana seorang guru juga, lanskap politik Negara dan dunia boleh berubah dengan hasil titisan kesedaran kepada anak didiknya. Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna adalah seorang guru yang telah mengerakkan sebuah jamaah yang bernama Ikhwan Muslimin dan menjadi rujukan jamaah atau parti Islam diseluruh dunia.

Tidak muncul secara automatik

Sebut sahaja guru atau pendidik yang telah melakar sejarah dunia, mereka bukan terus dilahirkan atau muncul secara automatik menjadi guru yang hebat, malah mereka juga melalui proses pendidikan dan pembentukan sebagai seorang guru. Jika dinisbahkan pada zaman sekarang, bakal guru perlu ‘disekolahkan’ dalam institut perguruan atau institut pengajian tinggi yang menawarkan program pendidikan.

Bermula di sana, bakal pendidik diajar dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bergelar seorang guru. Pedagogi , Psikologi, Sosiologi dan semua subjek berkaitan pendidikan akan dipelajari semasa bakal guru berada di fasa alam teori. Ilmu pendidikan ini akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan apabila sampai ke fasa seterusnya iaitu fasa praktikal.

Guru muda berpraktikal

Walaupun fasa praktikal hanya tempoh masanya selama dua atu tiga bulan, namun guru muda ini seharusnya mengaplikasikan semua ilmu pendidikannya yang diperolehi di ‘sekolah guru’ selama dua atau tiga tahun. Beberapa kelas berdasarkan subjek yang bakal diajar telah diamanahkan oleh pihak sekolah kepada guru muda.
Semangat guru muda tidak pernah dinafikan oleh guru-guru senior telah sekian lama berada di alam realiti persekolahan. Pelbagai alat bantu mengajar (ABM) atau bahan bantu mengajar (BBM) yang diusung kemari dari bilik guru ke dalam kelas atau ke mana sahaja tempat yang ingin diajar. Semuanya ingin menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PDP) dengan jayanya, mengikut objektif yang telah digariskan.

Fasa praktikal sebagai amal ibadah

Semestinya guru muda mahu mengejar pangkat ‘A’ di fasa praktikal. Antara cara untuk memperolehinya ialah bakal guru akan mendapatkan informasi daripada guru praktikal yang sudah melepasi fasa itu, bagaimana cara penyelia atau pensyarah menilai semasa PDP berlangsung kerana dia juga di bawah seliaan pensyarah yang sama. Selain itu, segala perkara yang bersangkutan dengan fasa praktikal, guru muda cuba mendapatnya daripada rakan sejawat mereka yang lepas seperti rancangan pengajaran harian (RPH) dan buku-buku tambahan yang digunakan.

Dalam kesibukan masa mengejar ‘A’, perlu diingatkan bahawa fasa praktikal juga adalah satu amal ibadah bagi orang mukmin. Segala perkara yang dilaksanakan kerana Allah swt, semuanya ini dikira sebagai amal soleh dan ibadah.

Jika guru muda telah membuat persediaan untuk dicerap tetapi penyelia/guru pembimbing tidak datang/masuk atau dikomen dengan pelbagai selepas pemerhatian dilakukan atau jika ditakdirkan guru muda tidak memperoleh ‘A’ di fasa latihan mengajar setelah berhempas pulas dan berusaha dengan gigih ke arah itu, maka jangan bersedih dan berduka hati.

Usaha dan keringat guru muda itu telah diganjari dengan pahala dan dikira sebagai amal ibadah sekiranya dia melaksanakan kerana Allah swt. Keikhlasan sangat penting dalam apa jua amalan sekalipun.

Setiap aktiviti PDP perlu dijalankan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Sekiranya guru muda melaksanakannya dengan bermatlamatkan selain dari Allah swt, maka bakal guru akan bersungguh dalam beberapa ketika dan masa. Penyelia dan guru pembimbing hanya mencerap tiga atau empat kali sahaja. Belum pasti lagi mereka dapat menilai keikhlasan dan kesungguhan guru muda dan belum tentu diterjemahkan ‘A’ dalam keputusan latihan mengajar kelak.

Namun sekiranya bakal pendidik melakukannya kerana Ilahi, guru muda akan bersungguh pada setiap masa dan ketika. Allah swt dan para malaikat mencerap dan memerhatikan manusia pada setiap saat dan detik. Kesungguhan dan keikhlasan guru muda pastinya dinilai dengan pahala yang berlipat ganda dan syurga sebagai balasannya.


“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya." Surah al-Bayyinah: 5


“(Mereka adalah makhluk) Yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.” Surah al-Infithaar: 11-12

No comments:

Post a Comment