Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Wednesday, June 22, 2011

Pengalaman Seorang Guru Praktikal vol 2

Apabila guru muda menjejak kaki ke arena persekolahan, sebenarnya mereka baru mengalami sebahagian dari dunia realiti seorang guru. Di alam praktikal, guru muda hanya singgah sebentar di taman ilmu untuk mempraktik segala ilmu pendidikan yang telah didedahkan sewaktu di alam kampus.

Di samping persinggahan itu, bakal guru juga sewajarnya mengambil dan mengaut sedikit pengalaman daripada guru-guru senior bagaimana cara dan kaedah terbaik mendidik para pelajar kini yang kenali sebagai generasi ‘Y’. Selain itu, bakal pendidik juga akan merasai suasana dan keadaan sebenar bagaimana tatakelola pihak pentadbiran, pengurusan masa guru berpengalaman antara kurikulum dan ko-kurikulum serta kehidupan pelajar semasa persekolahan.

Pamplet yang diberi amanah untuk dibuat semasa fasa praktikal dan dibawa ke lawatan sambil belajar di Australia


Mengambil peluang vs memberi peluang

Guru muda hanya diberikan masa mengajar sebanyak 8 hingga 14 masa dalam seminggu. Ini menurut apa yang telah ditetapkan oleh unit latihan mengajar dan pihak universiti. Kadang-kadang ada yang dapat lapan hingga 12 masa, hasil dari perbincangan dengan pihak sekolah. Pun begitu, terdapat juga guru muda diberi lebih dari 14 masa. Hal ini berkemungkinan sekolah mengalami kekurang tenaga pendidik. Secara purata, sehari guru muda akan mengajar selama dua hingga empat masa sahaja. Tidak mengapa, kurang atau lebih masa yang diperolehi, amanah perlu ditunaikan.


Berbanding guru tetap di sekolah, mereka diberi amanah lebih banyak masa mendidiknya iaitu 24 hingga 30 masa. Sekali pandang nampak seperti terbeban. Bukan sekadar tanggungjawab mendidik sahaja yang harus dipikul, malah pengurusan lain juga ditadbir dengan sempurna. Namun, lama-kelamaan ianya seperti biasa.
Barangkali ketika ini, guru senior akan mengambil peluang, mengagih-agihkan tugas yang dipertanggungjawab ke atas mereka kepada guru muda. Pelbagai tugas yang diberikan. Ada tugasan yang ringan seperti menjadi guru pengiring dan juga tugasan yang sukar dilaksanakan seperti mengadakan program tertentu atau diminta mengendalikan slot dalam program atau seminar. Bergantung kepada keadaan semasa sekolah.

Berkemungkinan guru muda akan menilai bahawa guru senior mengambil peluang terhadap mereka. Jika dipandang sudut lain, sebenarnya guru senior ini ingin memberi peluang kepada guru muda bagi menguruskan sesuatu tugasan luar dari aktiviti PDP. Secara tidak langsung, peluang yang diberikan ini menjadi satu pembelajaran dan pengajaran bagi guru muda menjadi guru berwibawa. Tugasan luar kelas juga merupakan sebahagian daripada kehidupan seorang guru di alam persekolahan.

Justeru, guru muda perlu menyambut baik dengan mengambil peluang yang diberikan. Lakukanlah dengan sekadar kemampuan bakal pendidik dan jangan menyerahkan kalah sebelum ‘game; bermula. Menolak dengan baik sekiranya guru muda tidak boleh melaksanakannya.

خير الناس أنفع للناس

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada manusia”

Monday, June 20, 2011

Pengalaman Seorang Guru Praktikal vol 1



Guru merupakan satu kerjaya yang mulia, mendidik anak bangsa bukan sekadar mengenal erti baca tulis , bahkan mengenal erti kehidupan sebagai seorang hamba Allah swt. Kerana seorang guru juga, lanskap politik Negara dan dunia boleh berubah dengan hasil titisan kesedaran kepada anak didiknya. Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna adalah seorang guru yang telah mengerakkan sebuah jamaah yang bernama Ikhwan Muslimin dan menjadi rujukan jamaah atau parti Islam diseluruh dunia.

Tidak muncul secara automatik

Sebut sahaja guru atau pendidik yang telah melakar sejarah dunia, mereka bukan terus dilahirkan atau muncul secara automatik menjadi guru yang hebat, malah mereka juga melalui proses pendidikan dan pembentukan sebagai seorang guru. Jika dinisbahkan pada zaman sekarang, bakal guru perlu ‘disekolahkan’ dalam institut perguruan atau institut pengajian tinggi yang menawarkan program pendidikan.

Bermula di sana, bakal pendidik diajar dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bergelar seorang guru. Pedagogi , Psikologi, Sosiologi dan semua subjek berkaitan pendidikan akan dipelajari semasa bakal guru berada di fasa alam teori. Ilmu pendidikan ini akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan apabila sampai ke fasa seterusnya iaitu fasa praktikal.

Guru muda berpraktikal

Walaupun fasa praktikal hanya tempoh masanya selama dua atu tiga bulan, namun guru muda ini seharusnya mengaplikasikan semua ilmu pendidikannya yang diperolehi di ‘sekolah guru’ selama dua atau tiga tahun. Beberapa kelas berdasarkan subjek yang bakal diajar telah diamanahkan oleh pihak sekolah kepada guru muda.
Semangat guru muda tidak pernah dinafikan oleh guru-guru senior telah sekian lama berada di alam realiti persekolahan. Pelbagai alat bantu mengajar (ABM) atau bahan bantu mengajar (BBM) yang diusung kemari dari bilik guru ke dalam kelas atau ke mana sahaja tempat yang ingin diajar. Semuanya ingin menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PDP) dengan jayanya, mengikut objektif yang telah digariskan.

Fasa praktikal sebagai amal ibadah

Semestinya guru muda mahu mengejar pangkat ‘A’ di fasa praktikal. Antara cara untuk memperolehinya ialah bakal guru akan mendapatkan informasi daripada guru praktikal yang sudah melepasi fasa itu, bagaimana cara penyelia atau pensyarah menilai semasa PDP berlangsung kerana dia juga di bawah seliaan pensyarah yang sama. Selain itu, segala perkara yang bersangkutan dengan fasa praktikal, guru muda cuba mendapatnya daripada rakan sejawat mereka yang lepas seperti rancangan pengajaran harian (RPH) dan buku-buku tambahan yang digunakan.

Dalam kesibukan masa mengejar ‘A’, perlu diingatkan bahawa fasa praktikal juga adalah satu amal ibadah bagi orang mukmin. Segala perkara yang dilaksanakan kerana Allah swt, semuanya ini dikira sebagai amal soleh dan ibadah.

Jika guru muda telah membuat persediaan untuk dicerap tetapi penyelia/guru pembimbing tidak datang/masuk atau dikomen dengan pelbagai selepas pemerhatian dilakukan atau jika ditakdirkan guru muda tidak memperoleh ‘A’ di fasa latihan mengajar setelah berhempas pulas dan berusaha dengan gigih ke arah itu, maka jangan bersedih dan berduka hati.

Usaha dan keringat guru muda itu telah diganjari dengan pahala dan dikira sebagai amal ibadah sekiranya dia melaksanakan kerana Allah swt. Keikhlasan sangat penting dalam apa jua amalan sekalipun.

Setiap aktiviti PDP perlu dijalankan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Sekiranya guru muda melaksanakannya dengan bermatlamatkan selain dari Allah swt, maka bakal guru akan bersungguh dalam beberapa ketika dan masa. Penyelia dan guru pembimbing hanya mencerap tiga atau empat kali sahaja. Belum pasti lagi mereka dapat menilai keikhlasan dan kesungguhan guru muda dan belum tentu diterjemahkan ‘A’ dalam keputusan latihan mengajar kelak.

Namun sekiranya bakal pendidik melakukannya kerana Ilahi, guru muda akan bersungguh pada setiap masa dan ketika. Allah swt dan para malaikat mencerap dan memerhatikan manusia pada setiap saat dan detik. Kesungguhan dan keikhlasan guru muda pastinya dinilai dengan pahala yang berlipat ganda dan syurga sebagai balasannya.


“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya." Surah al-Bayyinah: 5


“(Mereka adalah makhluk) Yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.” Surah al-Infithaar: 11-12

Wednesday, April 13, 2011

Siapa yang paling mulia


Sekolah merupakan satu institusi pendidikan yang mendidik para pelajar tentang erti kehidupan dan menentukan wawasan hidup. Peranan guru amat besar dalam usaha mendidik para pelajar agar mereka menjadi manusia yang berguna. Dari sudut sosial dan kemasyakatan, pastinya golongan guru dan para pelajar lebih mendominasi komuniti dalam sesebuah sekolah. Namun tidak dinafikan peranan pembantu tadbir, tukang masak di kantin, tukang kebun dan pak guard yang juga membantu meringankan urusan sepanjang persekolahan berlangsung.

Jika dilihat siapa yang paling mulia yang berada di sekolah, pastinya kita akan mengatakan guru. Tugas guru adalah mulia dan memang tidak dinafikan hal tersebut. Malah guru agama yang digelar sebagai ustaz dan ustazah, pastinya mempunyai amanah yang besar untuk menitikkan ajaran agama dalam diri pelajar. Namun, sekiranya guru agama itu mengajar kerana mahu mendapatkan gaji, hanya mengajar semata-mata di dalam kelas tanpa menghiraukan hal keadaan luar seperti pelajar tidak solat dan menutup aurat, adakah kita boleh katakan kepada mereka orang yang paling mulia?

Jika bukan guru agama, mungkin guru bukan agama yang paling mulia. Mereka mengajar sehingga murid lulus cemerlang dalam akademik dan akhirnya murid itu beroleh kerjaya yang dicitakan selama ini. Namun begitu, setiap kali mengajar, mereka kurang atau tiada menyelitkan ayat-ayat Allah dan kata-kata Rasulullah di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Adakah mereka boleh kita katakan orang yang paling mulia?

Jika bukan guru bukan agama, mungkin pihak pentadbiran yang diketuai oleh pengetua yang mulia. Pengetua adalah hireaki tertinggi dalam sekolah. Pengetua mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menentu hala tuju sekolah, bagaimana beliau ingin mencorakkan sekolah agar lebih maju jaya. Namun, sekiranya pengetua hanya mementingkan untuk memenuhi perut sendiri dengan memberi projek kepada kroni dan beliau dapat komisen, adakah pengetua boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika bukan pengetua, mungkin pembantu pentabiran yang mulia. Setiap hari mereka mengurus hal pentabdiran seperti, mengurus surat menyurat, borang cuti guru dan slip gaji. Namun, sekiranya mereka hanya berlakon rajin di depan bos sahaja dan di belakang malas dan curi tulang, adakah golongan ini boleh kita katakana orang yang paling mulia?

Jika bukan pembantu tadbir, mungkin mak cik kantin dan mak cik cleaner adalah orang yang mulia. Setiap hari mereka menyediakan makanan dan minuman kepada warga sekolah. Hal ini memudahkan warga sekolah dalam aktiviti P&P dan sebagainya, agar tidak perlu keluar mendapatkan makanan. Tukang kebun dan mak cik cleaner juga besar peranannya iaitu menjaga kebersihan sekolah supaya kelihatan lebih ceria dan menyamankan. Namun, sekiranya mak cik kantin mengenakan makanan dengan harga yang tinggi dan tidak mementingkan kebersihan dalam penyediaan makanan dan mak cik cleaner hanya membersihkan kawasan yang mudah baginya untuk dilakukan dan tidak memenatkannya, adakah golongan ini boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika mungkin mak cik kantin dan mak cik cleaner, mungkin pak guard orang yang mulia. Pak guard diamanahkan sebagai penjaga keselamatan sekolah. Pak guard akan pastikan tiada orang luar boleh masuk ke sekolah tanpa ada urusan. Namun, sekiranya pak guard hanya berada di pondoknya sepanjang masa tanpa membuat rondaan di kawasan sekolah mengikut jadual yang ditetapkan dan bersembang atau menonton televisyen untuk memenuhi waktu kerjanya, adakah pak guarg ini boleh dikatakan orang yang paling mulia?

Jika bukan pak guard, mungkin pelajar orang yang mulia. Pelajar adalah komuniti teramai di sekolah. Mereka datang ke sekolah untuk belajar mengenal erti kehidupan. Pastinya golongan ini yang mulia kerana setiap hari mereka mendapat input baru dengan pencambahan minda yang digarapkan oleh guru. Namun, kedatangan mereka ke sekolah hanyalah dengan paksarela oleh ibu bapa dan tidak menghormati guru di dalam kelas seperti buat bising dalam kelas, tidur dan menyampuk semasa P&P, adakah pelajar ini dikatakan mulia?

Orang bertaqwa adalah orang yang paling mulia

Oleh yang demikian, siapakah yang paling mulia? Allah berfirman menerusi surah al-Hujurat: 13,

“Sungguh, orang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa.”

Orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa di antara kita. Tidak kira sama ada pengetua, guru agama, guru bukan agama, pihak pentadbiran, mak cik kantin, mak cik cleaner, pak guard mahupun para pelajar, sekiranya mereka bertaqwa kepada Allah, maka mereka layak mendapat gelaran orang yang paling mulia.

Antara sifat-sifat orang bertaqwa adalah beramanah menjalankan tugas, jujur dalam semua perkara dan tidak melakukan sifat mazmumah. Manusia tidak dapat mengukur ketaqwaan melainkan hanya dari pengkhabaran wahyu yang menyatakan ini baik dan sebaliknya.

Kesimpulannya.

1. Kita hendaklah menjadi orang bertaqwa.
2. Kita hendaklah saling hormat menghormati dan saling sayang menyayangi antara sama satu sama lain.

Selamat berpraktikum...

Friday, September 17, 2010

Jangan Kahwin Lagi..... - Pesanan Tuan Guru

Hari raya ke 4 lepas, saya dan sahabat berpeluang berjumpa dengan Tuan Guru Hj Yusuf b. Husin yang menetap di Pendang, Kedah. Pertemuan tersebut tidak dirancang. Saya hanya ingin berjumpa dengan senior sekolah, Habib Adnan yang membawa sahabat-sahabatnya ke sana untuk ziarah sebelum mereka pulang ke Yaman. Tetapi taqdir Allah s.w.t. menentukan segalanya. Alhamdulillah, kami dapat mendengar nasihat yang paling berharga daripada seorang ulama’.

Antara perkara yang Tuan Guru beri penekanan ialah mendalami ilmu sebanyak yang boleh. Ilmu sangat penting dalam kehidupan. Tanpa ilmu katanya, manusia akan menjadi hilang punca dan tiada arah tujuan hidup yang sebenar. Masa muda perlu diisi dengan program keilmuan. Usia muda paling sesuai menuntut ilmu kerana mempunyai banyak tenaga dan semangat masih berkobar-kobar.

Pesanan beliau lagi, usia muda ini jangan terlalu fikirkan hendak berkahwin sahaja. Perkara tersebut akan menjadi mudah apabila kita mendalami ilmu khususnya ilmu agama dengan sebanyak mungkin dan semampu kita. Dengan ilmu tersebut, kita boleh beramal untuk diri sendiri dan mengajar masyarakat setempat. Belajar ilmu sehingga diri kita mempunyai nilai harga yang tinggi dalam masyarakat.

Bila sudah tibanya, barulah kita merancang untuk berkahwin.


Ilmu di dada perlu disampaikan kepada orang lain dan ilmu itu member kesan kepada diri mereka. Pesanan guru Tuan Guru Hj Yusuf kepadanya, “Cop, mu kena jadi tanah lembik (tanah liat), jangan jadi batu.” Maksudnya, apabila tanah liat di baling ke dinding, tanah itu akan melekat dan akan turun perlahan-lahan ke bawah. Melekatnya itu meninggalkan kesan di dinding. Batu pula bila di baling ke dinding, maka batu tersebut akan melantun semula.

Maksud yang tersirat di sebaliknya, bila kita sampaikan ilmu, berilmu itu memberi kesan dan meninggalkan bekas kepada insan. Jangan jadi orang berilmu tapi sombong. Akibatnya, ia akan merugikan diri sendiri.

Sekian.

Friday, March 5, 2010

Generasi IPOD : Mehnah dan Tribulasi

Sabda Rasulullah saw :
"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang muda dibentuk (lembut dan unik). Sesungguhnya Allah telah mengutusku dengan agama yang lurus lagi toleransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedang orang-orang tua menyanggahiku".

Sabda Rasulullah saw :
"Sesungguhnya Allah swt mengagumi pemuda-pemuda yang tiada baginya sebarang ke rosakkan moral".

Semalam saya diberi tanggungjawab sebagai moderater forum perdana yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sempena Karnival Perkampungan Alam 2010. Ahli panelis yang mengupas tajuk 'Generasi IPOD : Mehnah dan Tribulasi' ialah al-Fadhil Ustaz Anhar b. Opir dan al-Fadhil Ust. Dr. Jamnul Azhar b. Mulkan.

Tajuk ini sangat signifikan dibincangkan dalam khalayak golongan pemuda. Generasi ini serasi dengan alam teknologi yang serba canggih dan menjadi pelengkap hidup seharian. Sekiranya generasi ini tidak berdamping dengan handset, MP3, internet, Facebook dan lain-lain gadget, mungkin satu kekurangan dalam hidup.

Internet membantu manusia memudahkan urusan kehidupan seperti mendaftar keahlian sesuatu organisasi, membayar bil-bil dan membuat transaksi kewangan. Namun, pada masa yang sama, di dalamnya juga mempunyai unsur-unsur negatif seperti laman web lucah dan maklumat yang tidak tepat atau fitnah. Dr. Jamnul Azhar menyebut, 70% yang terdapat dalam internet adalah perkara negatif.

Fenomena negatif ini perlu dijauhkan supaya kita tidak terjebak dalam kancah tersebut. Apa yang seharusnya yang tersemat dalam diri generasi muda adalah Iman dan Taqwa. Iman dan Taqwa bukan suatu perkara yang mudah untuk perolehi, ianya memerlukan usaha bagi meraihkan kedua-duanya.

Mohd Nawwar b. Abu Mukhtar