Wednesday, June 22, 2011

Pengalaman Seorang Guru Praktikal vol 2

Apabila guru muda menjejak kaki ke arena persekolahan, sebenarnya mereka baru mengalami sebahagian dari dunia realiti seorang guru. Di alam praktikal, guru muda hanya singgah sebentar di taman ilmu untuk mempraktik segala ilmu pendidikan yang telah didedahkan sewaktu di alam kampus.

Di samping persinggahan itu, bakal guru juga sewajarnya mengambil dan mengaut sedikit pengalaman daripada guru-guru senior bagaimana cara dan kaedah terbaik mendidik para pelajar kini yang kenali sebagai generasi ‘Y’. Selain itu, bakal pendidik juga akan merasai suasana dan keadaan sebenar bagaimana tatakelola pihak pentadbiran, pengurusan masa guru berpengalaman antara kurikulum dan ko-kurikulum serta kehidupan pelajar semasa persekolahan.

Pamplet yang diberi amanah untuk dibuat semasa fasa praktikal dan dibawa ke lawatan sambil belajar di Australia


Mengambil peluang vs memberi peluang

Guru muda hanya diberikan masa mengajar sebanyak 8 hingga 14 masa dalam seminggu. Ini menurut apa yang telah ditetapkan oleh unit latihan mengajar dan pihak universiti. Kadang-kadang ada yang dapat lapan hingga 12 masa, hasil dari perbincangan dengan pihak sekolah. Pun begitu, terdapat juga guru muda diberi lebih dari 14 masa. Hal ini berkemungkinan sekolah mengalami kekurang tenaga pendidik. Secara purata, sehari guru muda akan mengajar selama dua hingga empat masa sahaja. Tidak mengapa, kurang atau lebih masa yang diperolehi, amanah perlu ditunaikan.


Berbanding guru tetap di sekolah, mereka diberi amanah lebih banyak masa mendidiknya iaitu 24 hingga 30 masa. Sekali pandang nampak seperti terbeban. Bukan sekadar tanggungjawab mendidik sahaja yang harus dipikul, malah pengurusan lain juga ditadbir dengan sempurna. Namun, lama-kelamaan ianya seperti biasa.
Barangkali ketika ini, guru senior akan mengambil peluang, mengagih-agihkan tugas yang dipertanggungjawab ke atas mereka kepada guru muda. Pelbagai tugas yang diberikan. Ada tugasan yang ringan seperti menjadi guru pengiring dan juga tugasan yang sukar dilaksanakan seperti mengadakan program tertentu atau diminta mengendalikan slot dalam program atau seminar. Bergantung kepada keadaan semasa sekolah.

Berkemungkinan guru muda akan menilai bahawa guru senior mengambil peluang terhadap mereka. Jika dipandang sudut lain, sebenarnya guru senior ini ingin memberi peluang kepada guru muda bagi menguruskan sesuatu tugasan luar dari aktiviti PDP. Secara tidak langsung, peluang yang diberikan ini menjadi satu pembelajaran dan pengajaran bagi guru muda menjadi guru berwibawa. Tugasan luar kelas juga merupakan sebahagian daripada kehidupan seorang guru di alam persekolahan.

Justeru, guru muda perlu menyambut baik dengan mengambil peluang yang diberikan. Lakukanlah dengan sekadar kemampuan bakal pendidik dan jangan menyerahkan kalah sebelum ‘game; bermula. Menolak dengan baik sekiranya guru muda tidak boleh melaksanakannya.

خير الناس أنفع للناس

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada manusia”

No comments:

Post a Comment