Saturday, September 18, 2010

Perjalanan Hidupku Sepanjang Minggu Aidilfitri 1431

Pahlawan Malaysia, Ust. Arif Izduan (tengah). Kebetulan walimah beliau hari Malaysia, 16 September. Bergambar bersama dengan mantan Pengerusi Badan Dakwah dan Kebajikan (BDK) MMAS sesi 2004, Syeikh Habib Zul Azwan, mantan Setiausaha Agong BDKMMAS sesi 2005, Ust. Arif Izduan dan mantan Pengerusi BDKMMAS sesi 2006, al-Faqir Mohd Nawwar Abu Mukhtar.

Bersama dengan Ust. Farid Hj Din, mantan Presiden Persatuan Pergerakkan Pelajar Islam Kedah (PPIK) sesi 2004 dan juga mantan YDP MPP USIM sesi 2008.


Gambar ini ketika saya dan Fahami baru sampai ke rumah kenduri di Tualang. Kami tengah merenung masa depan Islam umumnya di Malaysia, khususnya di Kedah Sejahtera.


Barakallahu lakuma kepada Afifi & pasangannya, Aiman Majidah. Ini batch SPM 2005 MMAS yang pernah menggerakkan Badan Dakwah dan Kebajikan pada satu ketika dahulu.

Kami bertandang ke rumah Abu Qahafah, bekas Presiden PPIK sesi 2009 (orangnya di sebelah saya). Beliau akan berangkat ke bumi Anbiya' Mesir untuk melanjutkan pelajar di Universiti al-Azhar. 4 tahun lagi, Insyaallah lahirlah seorang ulama' muda yang akan berjuang dan menyemarakkan Islam di bumi Malaysia.


Saya dan sahabat-sahabat menziarahi Ustaz Nazmi, orang kuat Sarawak. Kemunculannya selama hampir 4 tahun di bumi Kenyalang membawa satu sirna Islam yang baru. Harapan beliau agar Islam terus mekar di bumi Sarawak dan mengharapkan anak watan Sarawak sendiri yang menyebarkan Islam di sana.


Perbincangan serius antara Ust. Farid Hj Din (bekas YDP MPP USIM sesi 2008 dan sekarang guru di Maahad Mahmud Bandar Baharu) dan Ust. Sufian Ismail (Guru Besar Sekolah Rendah Agama di Puchong) di rumah kenduri Ust. Ariff Izduan. Perbincangan menjurus kepada perjalanan dakwah di bumi Malaysia.


Bergambar bersama mantan Pengerusi Badan Dakwah dan Kebajikan MMAS sesi 2004, Syeikh Habib Zul Azwan Abdullah (Adnan namanya di bumi Yaman). Perjumpaan terakhir dengan beliau sebelum berangkat pulang ke bumi Yaman pada 22 September 2010 ini. Insyaallah, 5 tahun lg, lahir lagi seorang ulama muda.


Orang yang berbaju raihan warna hijau, Ust. Sobri Elias, mantan Ketua Lembaga Pengawas dan Tatatertib Maktab Mahmud Alor Setar (juga merangkap Ketua Pelajar) sesi 2004 & 2005. Sekarang beliau sedang menuntut pelajar di peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Dari Ijazah Sarjana Muda terus ke Ph.D.

Coret-coret Walimatul Urus Abu Hanifa

Saya bergambar bersama raja sehari di rumah pengantin lelaki pada hari raya ke 4

Antara sebahagian keluarga Hj. Mustafa & Hjh. Habibah. Namun datuk dan nenek saya tidak dapat hadir kerana keuzuran.


Gambar pengantin ketika berada di hadapan rumah saya


Raja sehari menjamah makanan yang disediakan


Antara sebahagian sepupu saya sebelah adik beradik ayah


Orang ramai menikmati nasi minyak masakan Kg. Sg. Gelam berserta gulai daging lembu dan kerbau


Gambar ayah (sebelah kiri) dan Pak Ngah (adik ayah) sewaktu menyambut tetamu


Kanak-kanak kecil sedang beristirehat di dalam rumah setelah penat mengedar bunga telur


Persiapan terakhir sebelum kenduri


Pak Cik Mat & Pak Su Awang sedang tekun memasak


Ayah dan Lebai Rahim sedang memerhatikan orang ramai melapah daging lembu dan kerbau


Semangat kerjasama penduduk Kg. Sg. Gelam dalam menjayakan sesebuah kenduri dalam kampung tersebut


Walimatul Urus di Selengkoh, Yan

Ketibaan rombongan pengantin lelaki dari Kg. Sg. Gelam yang disambut mesra oleh tuan rumah

Antara hantaran daripada pengantin lelaki

Raja sehari di meja makan yang dihias khas untuk pengantin

Ni kanak-kanak kecil yang turut serta dalam rombongan pengantin lelaki




Sepupu dan adik perempuan saya bergambar bersama pengantin

Saya bersama abang dan kak ipar


Dua pemuda yang bakal menggugah dunia baru


Gambar ni diambil untuk dijadikan kenangan peribadi, bukannya mencari siapa di sisi





Friday, September 17, 2010

Jangan Kahwin Lagi..... - Pesanan Tuan Guru

Hari raya ke 4 lepas, saya dan sahabat berpeluang berjumpa dengan Tuan Guru Hj Yusuf b. Husin yang menetap di Pendang, Kedah. Pertemuan tersebut tidak dirancang. Saya hanya ingin berjumpa dengan senior sekolah, Habib Adnan yang membawa sahabat-sahabatnya ke sana untuk ziarah sebelum mereka pulang ke Yaman. Tetapi taqdir Allah s.w.t. menentukan segalanya. Alhamdulillah, kami dapat mendengar nasihat yang paling berharga daripada seorang ulama’.

Antara perkara yang Tuan Guru beri penekanan ialah mendalami ilmu sebanyak yang boleh. Ilmu sangat penting dalam kehidupan. Tanpa ilmu katanya, manusia akan menjadi hilang punca dan tiada arah tujuan hidup yang sebenar. Masa muda perlu diisi dengan program keilmuan. Usia muda paling sesuai menuntut ilmu kerana mempunyai banyak tenaga dan semangat masih berkobar-kobar.

Pesanan beliau lagi, usia muda ini jangan terlalu fikirkan hendak berkahwin sahaja. Perkara tersebut akan menjadi mudah apabila kita mendalami ilmu khususnya ilmu agama dengan sebanyak mungkin dan semampu kita. Dengan ilmu tersebut, kita boleh beramal untuk diri sendiri dan mengajar masyarakat setempat. Belajar ilmu sehingga diri kita mempunyai nilai harga yang tinggi dalam masyarakat.

Bila sudah tibanya, barulah kita merancang untuk berkahwin.


Ilmu di dada perlu disampaikan kepada orang lain dan ilmu itu member kesan kepada diri mereka. Pesanan guru Tuan Guru Hj Yusuf kepadanya, “Cop, mu kena jadi tanah lembik (tanah liat), jangan jadi batu.” Maksudnya, apabila tanah liat di baling ke dinding, tanah itu akan melekat dan akan turun perlahan-lahan ke bawah. Melekatnya itu meninggalkan kesan di dinding. Batu pula bila di baling ke dinding, maka batu tersebut akan melantun semula.

Maksud yang tersirat di sebaliknya, bila kita sampaikan ilmu, berilmu itu memberi kesan dan meninggalkan bekas kepada insan. Jangan jadi orang berilmu tapi sombong. Akibatnya, ia akan merugikan diri sendiri.

Sekian.

Mufti Kedah Saran Hukum Qisas


ALOR SETAR - Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa.

“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat.

“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini.

Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu.

Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan.

“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini.

“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.

Sisipan Negeri
17 September 2010

Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfirti


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda serta para sahabat yang mendokong perjuangan baginda Rasulullah s.a.w..

Pertamanya, marilah kita bersama-sama merafa’kan setinggi penghargaan kita ke Hadrat Allah s.w.t. kerana kita masih diberi ruang dan peluang berada di dalam bulan yang mulia, Bulan Ramadhan Karim. Sepanjang bulan Ramadhan, kita telah melaksanakan ibadah puasa yang difardhukan ke atas umat Islam secara aman dan sejahtera, tanpa ada gangguan musuh Islam seperti di Negara lain.

Di samping itu, kita juga telah memperbanyakkan amal ibadah sunat yang sangat dituntut di bulan mulia ini seperti solat Tarawih, bacaan dan tadarus al-Quran, doa, zikir dan beriktikaf. Semoga Allah menerima amalan yang kita persembahkan di hadapan-Nya walaupun sedikit.

Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Beruntunglah bagi orang yang memperhebatkan amalan di bulan Ramadhan dan mendapat malam al-Qadr dan sebaliknya. Belum pasti lagi pada tahun hadapan kita akan dapat bertemu dengan tetamu istimewa iaitu Ramadhan Karim. Kita doakan agar Allah memberi kesempatan kepada kita bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Amalan solat berjamaah dan bacaan al-Quran jangan terhenti sampai di penghujung Ramadhan sahaja. Amalan ini perlu diteruskan khusus bagi pejuang agama Allah s.w.t. sehingga ajal mendatang.

Kini Syawal menjelma dan semua umat Islam kembali kepada fitrah. Fitrah yang pertama, umat Islam boleh semula makan dan minum pada waktu siang. Fitrah kedua, umat Islam sudah pun bersih dari dosa setelah sebulan dalam Madrasah Ramadhan bagi mereka yang meminta pengampunan kepada Allah s.w.t..

Bulan Syawal juga kita digalakkan supaya berpuasa enam hari seperti mana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun penuh.” Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah.

Bagi orang-orang, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Pastikan kita melaksanakan amalan sunnah ini.

Bulan Syawal juga merupakan bulan pejuangan. Lafaz takbir yang dialunkan menjelang hari raya adalah menceritakan peristiwa perang Ahzab atau Khandak. Betapa Rasulullah s.a.w. sangat kesusahan mempertahankan Islam di Madinah. Sehinggakan baginda mengikat perutnya yang mulia dengan batu kerana tiada makanan untuk dijamah. Marilah kita bersama-sama menghayati peristiwa ini dan mempertahankan Islam dari dinodai.

Saya dan keluarga mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua umat Islam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Kullu a’min wa antum fi khair

Salam Hormat,

Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar
Pengerusi
Jawatankuasa Pelajar
Rakan Penggerak Ad-Din
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tuesday, June 22, 2010

Kaji Sistem Peperiksaan


ARKIB : 09/09/2004

Oleh WAHID HASHIM
(WARTAWAN UTUSAN)

SEJAK negara mencapai kemerdekaan pada 1957, sistem pendidikan kebangsaan mengalami bermacam-macam perubahan. Namun, kritik sosial melihat perubahan itu menjurus kepada penguncupan minda berbanding pemikiran yang lebih lateral.

Pendidikan kita gagal kerana tidak kontemporari. Kerana tidak mahu berubah, sistem kita dicap tidak liberal.

Bukan itu sahaja, kalau menyemak balik fail-fail lama, maka kita dapati kritikan juga menyentuh kelemahan sistem, kandungan dan format.

Malah ada pandangan yang menyebut sistem pendidikan merupakan virus yang merosakkan keseluruhan sistem di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Tahap pencapaian bahasa Inggeris pula sangat lemah. Perumpamaan yang diberikan oleh seorang ketua jabatan bahasa Inggeris di sebuah IPTA kepada Utusan Malaysia baru-baru ini ialah kalau sekarang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 mendapat A2, maka tarafnya kepada calon SPM 1985 mungkin hanya C4.

Kritik itu bukan cerminan emotif media massa, tetapi ia datang dari segenap hierarki masyarakat, daripada orang biasa sehingga kepada anak raja, daripada seorang profesor sehingga penarik beca.

Apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengkritik corak peperiksaan kita gagal melahirkan keaslian pemikiran, kekuatan analisis, daya imaginatif serta tidak inovatif, maka sistem pendidikan kita seolah-olah telah runtuh.

Walau yang disinggung oleh Raja Nazrin hanya aspek teknikal format peperiksaan, namun ia memberi kesan kepada keseluruhan sistem.

Buah fikiran anak raja yang memegang ijazah kedoktoran falsafah itu mempunyai wibawa dan kelayakan. Kita boleh berpegang dan berhujah atas landasan hujah beliau.

Secara yang mengkhusus, beliau menujukan kritiknya kepada corak format peperiksaan.
Maka kalau itu yang dikritiknya, yang paling layak terasa pedas paling kepalang ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Format peperiksaan adalah wacana teknikal. Di dalamnya terkandung aspek pedagogi, psikologi dan teknologi.

Lebih dalam lagi, ia perlu distruktur supaya sesuai dengan konsep soalan beraras, mematuhi wajaran konstruk, cakupan konteks, masa menjawab, jenis soalan, serta pelbagai aspek teknikal lain.

Pada masa yang sama, pihak yang bertanggungjawab juga cuba memperkenalkan soalan yang berkonsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran berfikir, Strategi Berfikir (KBSB).

Pelbagai teori pendidikan dari Barat dan tempatan diterapkan ketika menggubal peperiksaan.
Bagi yang mengikuti aspek rencam ini, maka sebenarnya banyak perubahan yang telah berlaku dalam penggubalan format peperiksaan dan pentaksiran dalam sistem pendidikan ini.

Lawan kepada objektiviti ialah kreativiti dan terbuka.

Satu sistem dikatakan bercorak objektif apabila semua pelajar perlu menjawab mengikut satu skema sahaja.

Sebagai contoh, kalau pelajar ditanya bagaimana hendak membuka tudung botol gabus, maka daripada perspektif di Malaysia, jawapannya ialah merendam dalam air panas. Jawapan lain tidak boleh diterima. Pelajar yang menjawab, ia boleh dibuka dengan pembuka tutup botol, juga salah, sedangkan ia sebenarnya boleh diterima. Bentuk tertutup begini dipanggil respons terhad.
Jawapan mengikut skema tidak mengundang kreativiti.

Bagi yang berlatarbelakangkan pendidikan di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat (AS), corak pendidikan di Malaysia memang aneh. Di sana, peperiksaan adalah `berasas sekolah', iaitu tiada peperiksaan bersifat kebangsaan. Setiap daerah ada sistemnya sendiri. Jadi, kebanyakan soalan bersifat respons terbuka kerana guru tidak perlu menyemak kertas yang banyak. Guru sanggup menerima pelbagai jawapan mengikut kreativiti pelajar.

Di AS, tiada istilah `panduan menjawab peperiksaan' akibat respons terbuka yang mencambahkan kreativiti ini.

Guru sekolah yang memeriksa kertas peperiksaan pelajar.

Di Malaysia, yang mempunyai sejarah dalam hubungan kaumnya yang tersendiri, maka Dasar Pendidikan Negara (DPN) digubal untuk menyatupadukan kaum dengan acuan satu kurikulum.
Penyeragaman menimbulkan banyak kekangan teknikal seperti memeriksa terlalu banyak kertas setiap kali peperiksaan kebangsaan. Lebih parah lagi kalau soalan respons terbuka ditanya kepada pelajar. Bagaimana kalau satu soalan respons terbuka mempunyai 10,000 jawapan yang berbeza?

Oleh kerana keseragaman kurikulum di seluruh negara jugalah, maka soalan peperiksaan perlu berdasarkan konstruk sukatan pelajaran.

Kalau hendak melaksanakan corak kreativiti, guru perlu dilatih secukupnya, dan pemahaman kognitif mereka perlu dicanai sematang-matangnya.

Guru sering dikatakan gagal melaksanakan sesuatu pendekatan.

Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bertema Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan, pada halaman 83, perkara 3.75 menyebut:
``Kelemahan dalam pelaksanaan dan penyampaian kurikulum menghalang pendidikan menengah daripada memenuhi keperluan pendidikan kemahiran seperti pemerolehan dan penguasaan kemahiran generik aras tinggi, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan kemahiran menguruskan sumber.''

Penyampaian di sini merujuk kepada cara guru dan pegawai di peringkat akar umbi melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Kita juga khuatir, guru bermentaliti objektif hasil daripada sistem pendidikan objektif ini akan `kembali ke sekolah' membawa sekali pemahaman kognitif untuk disebarkan di sekolah.
Indikator terhadap corak objektif yang paling ketara ialah semua orang mahu mengejar kejayaan.

Kejayaan pula ditakrif daripada gred yang diperoleh.

Baru-baru ini, ketika berbual dengan seorang guru di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, beliau menggambarkan tekanan kepada indikator gred untuk calon SPM seperti berikut:
``Dulu orang cuma bertanya dapat gred berapa, sebelum nak tahu berapa agregat. Apabila SPM Pensijilan Terbuka diperkenalkan pada 2000, orang tanya berapa A, dan sekarang orang tanya berapa 7A, 8A atau 10A.''

Tekanan terhadap `berapa A' itu benar-benar memberi implikasi yang menyeluruh kepada kehidupan generasi muda di negara ini.

Yang merasakan dirinya gagal bersaing untuk mendapat berapa A ini akan memilih jalan hidupnya sendiri.

Kita perlu menangani sesuatu isu secara yang mengkhusus, tetapi sesuai dengan keseluruhan organisasi.

Sekiranya isu yang diperkatakan ialah peperiksaan, maka segala jenis penilaian di sekolah perlu dirombak.

Kita perlu bersedia menerima perubahan, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perpaduan kaum dan bernegara di Malaysia, seperti mana yang kita kecapi sepanjang 47 tahun ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0909&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Monday, June 21, 2010

Hari Bapa...


Semalam merupakan hari istimewa buat kaum lelaki yang bergelar bapa. Hari Bapa di Malaysia disambut pada hari Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun. Suami atau bapa adalah ketua dalam bahtera rumah tangga. Selain daripada tanggungjawab mereka memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, mereka jua mempunyai tanggungjwab yang amat berat iaitu memastikan ahli keluarga tidak berada dilandasan salah yang menyebabkan jatuhnya ke dalam api neraka.

ياأيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا

Alhamdulillah, saya mempunyai bapa yang sangat prihatin dan penyayang. Beliau memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama yang cukup. Baginya, pendidikan agama amat penting kerana ia akan mengajar erti kehidupan sebenar sebagai khalifah Allah di dunia. Walaupun bapa tidak mampu mengajar kami akan agama, tetapi ada pilihan lain lagi untuk memahamkan kami tentang Islam iaitu dengan menghantar ke sekolah agama.

Harapannya, bapa hendak melihat kami menjadi hamba Allah yang bertaqwa dengan mentaati perintah dan laranganNya. Untuk digelar sebagai anak soleh dan solehah, kefahaman agama begitu penting. Dengan agama, akal dapat dipimpin melalui wahyu Ilahi dan nafsu dapat dikawal. Maka akan lahirlah insan yang soleh dan solehah.

Pendidikan material seperti wang tidak akan membina jadi diri seorang anak. Malah secara tidak langsung bapa mendidik anak cintakan kebendaan. Akhirnya anak itu akan merasakan kekurangan sekiranya dia tidak memperoleh kewangan, bukannya merasakan kekurangan bila bapa tidak berada disampingnya. Anak-anak lebih menantikan pemberian daripada menantikan pemberi.

Kasih seorang bapa tidak seperti kasih seorang ibu. Belaian dan kasih ibu ada sentuhan tersendiri. Begitu juga dengan bapa. Kasih sayang bapa ditunjukkan melalui tindakannya seperti pergi menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya, pergi menjemput anak di stesyen bas seusai tiba dari perantauan, bekerja membanting tulang mencari nafkah dan lain-lain. Bapa sukar untuk ungkapkan lafaz kasih dan sayang mereka terhadap anak-anak. Namun bagi bapa, sudah memadai dengan tindakannya itu. Tinggal lagi, anak-anak sahaja yang perlu menilai kasih sayang seorang bapa.

Bapa sanggup berhidup susah demi kebahagian anak-anaknya. Mereka tidak mahu kesusahan yang mereka hadapi suatu ketika dahulu berulang kembali terhadap anak-anaknya.

Selamat Hari Bapa buat ayahku yang tercinta, Abu Mukhtar bin Mustafa..

Monday, June 14, 2010

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah


KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki hanya akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.

Sumber : www.harakahdaily.net