Tuesday, December 15, 2009

Pengembaraan ke Kedah Sejahtera

Gambar kenangan di hadapan rumah saya

Tiga orang jejaka ketika berada di kolam udang ayah saya

Bersama dengan datuk Aisyah di rumah bada saudaranya di Sungai Petani

Keletihan menunggu rombongan dua buah kereta di rumah Munirah, di Pendang

Sunday, December 6, 2009

ESQ 165 Training altenatif baharu



Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang Biro Tata Negara (BTN) yang merupakan proksi kepada pihak pemerintah ekoran kerajaan negeri Selangor yang tidak membenarkan kakitangan kerajaan negeri serta pelajar IPT mengikuti kursus tersebut.

Mungkin ada relevennya dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor dan mungkin tidak. Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menuruti jejak langkah Selangor. Namun usul itu telah ditolak sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung.

BTN merupakan suatu kursus yang dianjurkan oleh kerajaan pusat yang menekankan aspek semangat patrotisme terhadap negara tercinta. Mereka yang berkerja dan berkhidmat bersama agensi kerajaan akan melalui program BTN ini. Mahasiswa juga tidak terlepas daripada mengikuti kursus ini.

Kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak yang membuka mulut dan menyatakan bahawa BTN telah digunakan oleh pemerintah bagi mengekalkan kuasa Barisan Nasional menguasai kerajaan pusat. Isu ini tercetus apabila Selangor dengan lantangnya menolak pendekatan BTN yang dikatakan sebagai proksi kerajaan.

TUJUAN MURNI

Untuk mencapaikan sesebuah Negara yang makmur dan harmoni, seharusnya perlu ada suatu program yang mendidik warga Negara cinta akan tanah airnya. Pada hemat saya, BTN adalah program dan modul yang mengajak rakyat ke arah mewujudkan keamanan Negara. Sekarang mungkin sudah tersasar dari matlamat asal.

Responsif pihak kementerian untuk mengkaji semula modul BTN amatlah bernas sekali. Sebelum ini, mungkin pendekatan modul yang digunapakai menjurus ke arah mengekalkan kuasa politik tertentu. Dengan penilaian semula modul tersebut, ianya akan meningkat produktiviti keluaran peserta yang mengikuti program itu supaya menjadi warga Negara yang penuh integriti.

ESQ 165

Bukan mudah untuk mencetak manusia bagi melahirkan masyarakat harmonis. Tidak cukup hanya mendoktrinkan pemikiran rakyat tanpa mendidik hati manusia agar mengabdikan diri pada Ilahi. Ianya penting kerana dengan gerakan hati, manusia boleh bertukar dari watak baik ke watak buruk dalam perlakuan kehidupannya.

Modul ESQ 165 yang diperkenalkan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian adalah pendekatan moden yang mengajak manusia mengenal diri sendiri dan sang pencipta. Penyampaian yang juga menggunakan teknologi seperti sound system canggih dan tiga atau lebih skrin besar menarik minat para peserta.

Trainer yang mengendalikan sesuatu training menyentuh kebesaran Allah swt dengan memaparkan ayat-ayat al-Quran dan hadith serta didatangkan juga fakta-fakta sains kajian manusia. Apabila manusia kenal diri sendiri, secara tidak langsung ianya akan memberi kesan pada semua pihak. Dia berusaha menjadi anak yang taat kepada ibubapa, pelajar yang berjaya, pekerja yang rajin dan warga negara yang bertanggungjawab.

Kerajaan Malaysia boleh memeteraikan perjanjian bersama dengan ESQ Training agar seluruh rakyat juga melalui bengkel tersebut. Penelitian semula modul BTN boleh bekerjasama dengan pihak ESQ atau ESQ mengantikan terus tempat BTN dalam membina rangka modul cinta akan Negara dan sekaligus cinta kepada Ilahi.

Tuesday, December 1, 2009

Aku sudah berkorban?

Alhamdulillah, Di Malaysia kita dapat menyambut perayaan Aidil Adha dengan suasana yang selesa dan aman berbanding negara-negara lain. Walaupun ada juga beberapa negeri yang terpaksa berhari raya dalam keadaan basah dengan banjir, namun terdapat negara seaqidah terpaksa beraya dalam keadaan basah dengan darah, bertempur dengan musuh agama dan negara.

Apabila saya membaca blog rakan-rakan yang menceritakan erti pengorbanan sempena hari Raya Haji 1430h, ia mengingatkan kembali kisah pengorbanan yang begitu besar dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah s.w.t supaya menyembelihkan anak kesayangan baginda, Nabi Ismail a.s.. Setiap tahun diperingatkan melalui forum, ceramah dan juga alunan nasyid (jika ada) tentang kisah ini. Sesiapa sahaja diminta bercakap soal demikian, pastinya secara pantas mereka boleh memutarkan semula kisah itu.

Antara perkara sunat yang dituntut dilaksanakan sewaktu hari Raya Haji ialah dengan mengadakan ibadah korban seperti menyembelih lembu, unta, kambing atau binatang ternakan yang dibolehkan oleh Islam. Binatang ternakan seperti lembu dijadikan sebagai suatu ibadah kepada pelakunya agar ianya memperoleh ganjaran pahala menerusi ibadah korban. Binatang ini sanggup berkorban untuk makhluk bergelar manusia supaya manusia mentaati perintah Allah s.w.t lantas melayakkannya berada dalam kalangan orang beriman.

Pun begitu, pakaian seperti baju, seluar dan kain batik yang setiap hari kita pakai juga berkorban untuk manusia. Ye lah, pakaian yang cukup syarat serta menepati syariat membolehkan kita pakai dengan penuh keyakinan. Pakaian juga menambahkan keanggunan seorang wanita dan keunggulan seorang lelaki berbanding insan yang tidak mengenakan apa-apa pakaian ataupun pakaian selekeh. Ianya menutup segala keaiban yang ada pada tubuh kita, pelindung dari kepanasan cahaya matahari dan kesejukan dingin angin.

Selain itu, manusia beriman perlu menunaikan segala perintah yang telah ditetapkan seperti solat. Kita perlukan tenaga pada setiap hari demi memastikan ibadah yang dikerjakan penuh kesempurnaan. Tenaga akan berhasil dari makanan yang sihat. Sayur-sayuran yang segar dan daging yang halal dimakan adalah perkara yang menambahkan tenaga kerja manusia. Sayuran dan daging juga turut berkorban untuk manusia menjadikan hamba Allah s.w.t yang bertaqwa.

Jika direnungkan kembali, perkara yang berada disekitar kita, telah banyak berkorban kepada manusia takkala manusia beriman atau sebaliknya.

Motor yang dimiliki sering ditunggangi ke tempat kita hajati.

Laptop yang dimiliki membolehkan kita menyiapkan tugasan akademik yang diberi.

Kereta yang dimiliki sering dipandu ke tempat mencari rezeki.

Rumah yang dimiliki memberi perlindungan kesejahteraan kepada anak dan isteri.

Bagaimana perngorbanan yang dilakukan oleh makhluk yang bergelar manusia? Apakah bentuk pengorbanannya terhadap agama? Sekurang-kurangnya kita sebagai khalifah sanggup berkorban demi Islam yang tercinta, melihat Islam dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tenaga yang ada pada tubuh, kesihatan yang diberikan serta akal cerdas yang dikurniakan, semuanya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk Islam.